ANAK tiri Najib Razak, Riza Aziz dan bekas ketua pegawai eksekutif (CEO) 1Malaysia Development Berhad (1MDB) Arul Kanda antara tujuh individu yang dikenalpasti oleh saksi kelapan pendakwaan di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur hari ini.
Amhari Efendi Nazaruddin, bekas pegawai khas Najib, diminta oleh mahkamah untuk mengenalpasti ketujuh-tujuh individu yang disebut dalam pernyataan bertulis setebal 77 halaman berkenaan urusan 1MDB, Najib dan ahli perniagaan dalam buruan Low Taek Jho atau Jho Low.
Selain Riza dan Arul, lima lagi yang dikenalpasti adalah bekas pengerusi 1MDB Lodin Che Wok Kamarudin; bekas pegawai khas Najib, Ahmad Shihab Wan Ismail; bekas pengarah urusan dan CEO 1MDB Shahrol Azral Ibrahim, Dennis See dan Azmi Tahir.

Arul Kanda dihadapkan di mahkamah atas dakwaan bersubahat dengan Najib meminda laporan akhir Jabatan Audit Negara mengenai 1MDB.
Ketujuh-tujuh mereka dipanggil ke mahkamah hari ini dan akan menjadi saksi pendakwaan dalam perbicaraan kes 1MDB melibatkan Najib.
Riza, CEO Red Granite Pictures, didakwa pada Julai dengan lima pertuduhan pengubahan wang haram berjumlah AS$248 juta (RM1.25 bilion) yang didakwa diseleweng dari dana 1MDB.
Perbicaraan kes tersebut akan dijalankan di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada Januari. – 17 September, 2019.
Komen