Daim pandai menilai orang, kata Dr Mahathir


Chan Kok Leong

Perdana menteri memuji kelebihan yang dimiliki bekas menteri kewangan Daim Zainuddin dan peranannya dalam kerajaan beliau. – Gambar fail The Malaysian Insight, 17 September, 2019.

BEKAS menteri kewangan Daim Zainuddin seorang yang amat berguna dan bagus dalam membuat penilaian terhadap individu yang ingin diambil bekerja oleh kerajaan, kata Dr Mahathir Mohamad.

“Beliau menjadi rujukan. Orang memerlukan penasihat tertentu, orang yang mempunyai pengetahuan tertentu. Dan beliau seorang yang berpengetahuan tentang politik dan perniagaan.

“Beliau juga mempunyai pengalaman dan ketika kita meminjam wang dan membayar hutang, kepakarannya berguna,” kata perdana menteri pada wawancara “Breakfast Grille” di BFM hari ini.

“Beliau banyak bertemu dengan ramai orang di sini dan luar negara serta mampu menjadi penilai yang baik terhadap kualiti individu yang kita ambil untuk bekerja.”

Bagaimanapun, Dr Mahathir menafikan spekulasi bahawa Daim mempunyai pengaruh besar dalam kerajaan walaupun bukan ahli politik yang dilantik.

“Sekiranya beliau mempunyai sebarang bantahan, beliau perlu memberi sebab.

“Tidak benar semua cadangannya diterima,” kata Dr Mahathir ketika ditanya sama ada kelulusan Daim diperlukan apabila terdapat pelantikan yang dibuat di syarikat berkaitan kerajaan. – 17 September, 2019.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen