ZURAIDA Kamaruddin mempertahankan promosi jualan rumah mewah ke Hong Kong dan China yang menurutnya akan memulihkan pasaran hartanah dan merancakkan pembinaan rumah mampu milik.
Menteri perumahan dan kerajaan tempatan itu berkata, promosi melalui Program Malaysia Rumah Keduaku (MM2H) itu bertujuan mencairkan aset-aset bernilai daripada terbiar.
Dengan cara itu kerajaan akan mendapat manfaat dengan membina rumah-rumah mampu milik kepada rakyat apabila aset mewah bernilai RM100 bilion itu dapat dicairkan.
“Bila kita lihat keadaan begini (lambakan hartanah) kita cuba menyelesaikannya untuk mencairkan (aset dan memulihan) keadaan ekonomi negara.
“Kalau kita dapat cairkan dengan penjualan rumah, jadi bank pun akan menerima bayaran daripada pemaju.
“Ia bantu prospek ekonomi, aktiviti pekerjaan dan merancakkan lagi projek-projek rumah mampu milik yang kerajaan mahu buat,” katanya di Pulau Pinang.
Beliau berkata demikian bagi menangkis kritikan bahawa kerajaan mengutamakan rumah untuk warga asing yang berpendapatan tinggi berbanding perumahan untuk rakyat kurang mampu.
Ia antara lain disuarakan NGO Reach yang mengingatkan Zuraida supaya memainkan peranannya sebagai menteri untuk rakyat Malaysia dan bukannya untuk warga Hong Kong dan China.
Namun tegas Zuraida, tindakan ke atas aset mewah yang tidak laku itu perlu dilakukan segera untuk mengelak kesan buruk terhadap 140 industri hiliran yang berkait dengan industri perumahan.
“Tahun-tahun akan datang kalau kita tidak cairkan hartanah ini, bangunan akan terbengkalai, kotor dan uzur. Adakah nak lihat Malaysia seperti itu? Kita akan menyesal nanti.
“Kita kena tangani sekarang mengikut prosedur. Bukan lelong seperti pisang goreng,” tambah ahli Parlimen Ampang itu lagi.
Cadangan itu juga akan dibuka kepada warga negara lain dan tidak terhad kepada China dan Hong Kong sahaja, katanya.
Ujarnya lagi, yang diumumkannya Rabu lalu itu bagaimanapun masih di peringkat perbincangan kementerian dan belum dibawa ke Kabinet.
Zuraida bercakap kepada pemberita selepas Majlis Perisytiharan Majlis Bandaraya Seberang Perai dan pelantikan Datuk Bandar di Kepala Batas, Pulau Pinang, hari ini.
Ramai warga Hong Kong kini dilaporkan mempertimbangkan untuk berhijrah dari kota itu yang kini bergolak akibat tunjuk perasaan berlarutan.
Hartanah di Malaysia, yang jauh lebih murah berbanding hartanah di Hong Kong, dilaporkan menjadi perhatian golongan kaya di wilayah pentadbiran khas China itu. – 16 September, 2019.
Komen