HUBUNGAN kerajaan Persekutuan dan Sarawak dijangka bergolak tidak lama lagi apabila Putrajaya memutuskan untuk melantik pemimpin komuniti seperti tuai rumah, pemanca dan temenggong.
Timbalan Menteri Luar Bandar R Sivarasa malam tadi di Kuching berkata kementeriannya akan melantik individu layak ke jawatan tersebut walaupun ia akan bermakna setiap komuniti akan mempunyai dua orang pemimpin.
Sivarasa, yang juga ahli Parlimen Sungai Buloh, berkata keputusan untuk mengambil alih pelantikan pemimpin komuniti itu adalah keputusan Kabinet dan “disasarkan bermula pada 1 Januari”.
Buat masa sekarang, pelantikan itu dibuat kerajaan negeri.
Ditanya wartawan sekiranya tindakan itu akan mewujudkan perpecahan, Sivarasa memberitahu kementeriannya “akan buat sehabis baik untuk mengelakkan perpecahan”.
Katanya, mekanisme pelantikan masih belum ditentukan.
Selepas Pakatan Harapan menang pilihan raya umum tahun lepas, ia cuba memenuhi janjinya bagi memastikan pemimpin komuniti terutama tuai rumah dilantik oleh anak biak (penduduk rumah panjang) mereka.
Dalam usaha untuk menghapuskan sistem lantikan politik diamalkan kerajaan Sarawak, Putrajaya memberi tekanan dengan menahan 70% gaji pemimpin komuniti terlibat.
Usaha itu bagaimanapun mendapat tentangan Sarawak apabila kerajaan negeri mengambil alih pembayaran gaji pemimpin komuniti di negeri itu.
Sivarasa berkata membenarkan Sarawak berkuasa sepenuhnya dalam pelantikan itu “tidak disenangi” kerajaan Persekutuan, mengulangi pandangan Ahli Parlimen Selangau Baru Bian, kerana Putrajaya tidak mempunyai wakil di peringkat kampung.
Tambahnya, kerajaan Sarawak juga melarang pemimpin komuniti menghadiri majlis PH. – 16 September, 2019.
Komen