MCA yang terpinggir tak bimbang dengan ‘perkahwinan’ Umno-PAS


Chan Kok Leong

MCA masih menanti sama ada mereka boleh meraih manfaat daripada kerjasama PAS dan Umno. – Gambar fail The Malaysian Insight, 17 September, 2019.

MCA tidak bimbang akan kehilangan lebih banyak kerusi atau sokongan susulan rasminya piagam politik Umno dan PAS, kata naib presiden parti itu.

“Walaupun kami kalah teruk (pada PRU14), kami masih percaya ada cara untuk meneruskan kerjasama, tolak ansur, penghormatan bersama dan pemahaman,” kata Ti Lian Ker kepada The Malaysian Insight.

Ti, yang sudah menghidupkan kembali badan pemikir MCA, Insap, percaya pengundi Cina akan kembali memberi sokongan kepada mereka kerana kegagalan DAP menunaikan janjinya.

“Pengundi sudah sedar bahawa DAP walaupun menerima sokongan ramai tetapi prestasinya tidak bagus dan MCA tidak apa yang hendak ditakutkan.

“Kebenaran akan terdedah dan kami harap akan mendapat sokongan lebih baik daripada komuniti Cina dalam usaha untuk mengawal kumpulan pelampau dalam cara yang baik dan boleh diterima,” katanya yang juga seorang peguam dari Pahang itu.

Selepas pilihan raya umum lepas, Dr Wee Ka Siong yang baharu sahaja dipilih sebagai presiden menjadi wakil tunggal MCA dalam Parlimen selepas menewaskan Liew Chin Tong (DAP) di Ayer Hitam.

Selain itu, parti Cina bersejarah itu juga mempunyai dua kerusi dalam DUN, masing-masing di Perlis (Titi Tinggi) dan Pahang (Cheka).

MCA yang kini diterajui Dr Wee Ka Siong-satu-satunya wakil mereka di Parlimen- berdepan cabaran hebat menyakinkan pengundi parti itu lebih baik daripada DAP. – Gambar fail The Malaysian Insight, 16 September, 2019.

MCA kalah teruk pada pilihan raya lepas apabila hanya menang satu kerusi Parlimen daripada 37 kerusi ditandinginya dan hanya dua kerusi negeri daripada 90 kerusi DUN. Susulan itu, presiden Liow Tiong Lai memutuskan untuk tidak mempertahankan jawatannya pada pemilihan parti.

MCA mencapai keputusan pilihan raya terbaik pada 2004 apabila menang 31 kerusi Parlimen. Sejak itu, jumlah kerusinya berkurangan, pada 2008 menang 15 dan pada 2013 hanya menang tujuh kerusi Parlimen.

Menjelang pilihan raya lepas, MCA dianggap tidak berdaya dan menjadi rakan subahat dalam isu kontroversi seperti skandal 1Malaysia Development Berhad; korupsi dan salah guna kuasa; dan dominasi Umno dalam Barisan Nasional.

Mengulas kerjasama dimeterai Umno dan PAS, Ti berkata kerjasama parti pembangkang adalah amalan biasa walaupun parti masih berdasarkan kaum dan agama.

“Walaupun DAP cuba menonjolkan wajah pelbagai kaum, realitinya mereka masih parti Cina sahaja. Seperti kerjasama dengan PAS, DAP buat begitu juga (mengutamakan kaum).

“Malah sebenarnya, DAP menjadi pemula kepada politik tanpa sempadan,” kata Ti, merujuk kepada Pakatan Rakyat yang dibentuk PKR, PAS dan DAP antara 2008 hingga 2015.

Ti berkata MCA mahu terus menjalinkan hubungan dengan Umno dan PAS untuk mengingatkan mereka tentang semangat Perlembagaan Persekutuan.

Beliau bagaimanapun enggan memberi andaian sekiranya kerjasama itu akan memberi manfaat kepada MCA.

PAS dan Umno memeterai Piagam Muafakat Nasional, kerjasama politik yang menyatukan kedua-dua parti Melayu terbesar negara itu, menjadikannya seteru utama Pakatan Harapan dalam landskap politik masa kini.  – Gambar fail The Malaysian Insight, 17 September, 2019.

Tiada perubahan

Tetapi Dr Lau Zhe Wei dari Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) tidak percaya kerjasama Umno dan PAS akan memberi manfaat kepada MCA dan MIC.

“Dengan banyak lagi isu kaum dan agama seperti Dr Zakir Naik, khat, boikot produk buka Islam, MCA dan MIC akan mendapati sangat sukar untuk meraih undi masyarakat mereka. Apatah lagi, ada isu ini yang digerakkan oleh Umno atau PAS.

“MCA sudah sangat susah sekarang, apatah lagi dengan ‘perkahwinan’ Umno dan PAS,” kata Lau yang merupakan pakar politik Cina.

Pembahagian kerusi PRU15 antara Barisan Nasional, PAS dan Umno akan jadi tumpuan ramai. – Gambar fail The Malaysian Insight, 17 September, 2019.

Pengurus Merdeka Centre Tan Seng Keat pula berkata MCA mungkin akan jadi pihak rugi teruk dalam pembahagian kerusi BN dan PAS.

“Sekarang, enam daripada tujuh kerusi dimenangi MCA pada 2013 adalah kerusi majoriti Melayu- Tebrau, Ayer Hitam, Tg Malim, Alor Setar, Bentong dan Tg Piai. Pada 2018, MCA hanya berjaya mempertahankan Ayer Hitam.

“Dengan kerjasama politik dibuat semalam, Umno dan PAS akan mahu memaksimumkan peluang menang dengan mengambil semua kerusi majoriti Melayu. Jadi, apa yang tinggal adalah kerusi campuran atau kerusi bukan Melayu yang sukar dimenangi MCA atau MIC.”

Manfaat penyatuan Umno dan PAS kepada parti komponen Barisan Nasional seperti MCA dan MIC masih samar.  – Gambar fail The Malaysian Insight, 17 September, 2019.

Tan berkata situasi itu serupa apabila Gagasan Sejahtera diterajui PAS meletakkan calon bukan Melayu di kerusi campuran pada pilihan raya lepas.

“Semua calon tersebut hilang deposit,” kata Tan.

Lau berkata pembahagian kerusi adalah berdasarkan peluang kemenangan dan wujud kemungkinan besar MCA tidak akan mendapat kerusi majoriti Melayu.

“Tetapi, saya percaya Ayer Hitam akan terus kekal dengan Wee dan mungkin beberapa kerusi pemimpin tinggi lain. Kerusi yang mungkin diambil adalah kerusi yang MCA kalah.

“Tidak salah memberikan kerusi yang MCA tak boleh menang kepada Umno dan PAS selagi mana mereka menang pilihan raya. Cuma di mata pengundi Cina, MCA akan dilihat sukar beri sumbangan bermakna.”

“Pada 2008 dan 2013, MCA kalah teruk, tetapi manfaat diberikan kepada mereka dikekalkan kerana terus dilantik jadi menteri dan timbalan menteri dan lain-lain.

“Selagi mana BN memang, MCA akan dapat manfaat. Tetapi jika BN tak menang, tak ada siapa yang untung,” kata Lau lagi. – 17 September, 2019.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen