LEBIH ramai Muslim kini memilih melancong atau berbelanja semasa bercuti di tempat yang berkonsep halal atau mesra Muslim kerana faktor selesa dan mahu menjaga hidup beragama, kata pelancong dan pemain industri pelancongan.
Kajian industri juga menunjukkan trend pelancongan halal atau mesra Muslim semakin meningkat, bukan saja di Malaysia malah di serata dunia.
Sarah Muhamad, 35, berkata beliau dan keluarganya selesa dengan konsep percutian begitu kerana tidak perlu ragu dan bimbang, misalnya dengan status halal makanan, selain memudahkan urusan menjaga ibadat.
Percutian halal membuatkan dirinya lebih yakin bahawa pakej yang disediakan sudah mematuhi syarak dan tidak melanggar hukum agama, kata pekerja swasta itu.
“Kalau bercuti dalam negara pun sama juga. Cuma untuk makanan saya tidak perlu risau sangat sebab masih dalam negara. Yang kami titik beratkan penginapan yang hanya untuk Muslim,” katanya kepada The Malaysian Insight.
Menurut Pengarah Pusat Pelancongan Islam (ITC) Zain Azrai Rashid, pelancongan seperti Sarah adalah watak biasa sekarang dalam kalangan umat Islam bukan saja di Malaysia namun seluruh dunia.
Beliau menjelaskan, permintaan sektor pelancongan halal atau mesra Muslim itu mula mendapat perhatian di Malaysia sejak 10 tahun lepas.
“Trend itu dilihat sangat berkembang dengan pantas dalam tempoh lima tahun kebelakangan ini,” katanya.
Trend itu meningkat kerana kesedaran tinggi masyarakat menjalani kehidupan yang tidak melanggar hukum syarak, tambahnya.
“Ia menjadi trend kerana kefahaman orang Islam semakin tinggi sebab itu mereka banyak cari produk halal dan ini termasuk dalam sektor pelancongan halal atau mesra Muslim,” katanya.
Bahkan, itu juga menjadikan Malaysia destinasi popular dalam kalangan pelancong Muslim dalam tempoh 10 tahun lalu, katanya.
Malaysia kekal menduduki tempat pertama indeks pelancongan Islam global oleh MasterCard-CrescentRating Global Muslim Travel Index (GMTI) untuk tahun kesembilan berturut-turut, tetapi buat julung kalinya berkongsi kedudukan itu dengan Indonesia pada tahun lalu.
GMTI 2018 juga menjangkakan pasaran pelancongan Islam akan terus tumbuh pesat mencecah AS$220 bilion pada 2020 dan AS$300 bilion menjelang 2026.
__full.jpg)
Pesat
Kajian sebuah aplikasi maklumat pelancongan Muslim Salam Standard meramalkan pelancongan halal menyumbang 5.3 juta pekerjaan di seluruh dunia pada 2020.
Pelancongan Muslim di Malaysia pula dijangka menyumbang RM15 bilion kepada ekonomi negara pada 2020, meningkat 28.6% berbanding 2017.
Malaysia pada masa ini menguasai hampir satu perempat pasaran pelancongan Muslim di Asean, berdasarkan laporan perbelanjaan pelancong Muslim dunia.
Menurut Ketua Pegawai Eksekutif dan pengasas bersama Tripfez Travel, Faeez Fadhlillah, segmen pelancongan mesra Muslim antara yang paling berkembang dengan pesat.
“Perkembangan itu sangat konsisten dalam tempoh 10 tahun ini,” katanya.
Tambah Faeez, kepesatan segmen pelancongan itulah yang mendorong beliau untuk menerokai pasaran tersebut dan mengasaskan Tripfez, sebuah portal pelancongan Muslim.

“Saya lihat ia membuka peluang yang sangat besar tapi pada masa sama terdapat lompang besar (huge gap), jadi saya datang untuk mengisi ruang kosong dengan menubuhkan Tripfez,” katanya.
Faeez menubuhkan Tripfez empat tahun lepas dan turut membangunkan sistem klasifikasi pelancongan Muslim, Salam Standard, yang memberi penilaian kepada hotel berdasarkan perkhidmatan dan kemudahan yang mesra pelancong Muslim.
“Secara asasnya kita akan bekerjasama dengan hotel untuk lihat apa fasiliti dan kelengkapan yang mereka ada.
“Buat masa ini kita bekerjasama dengan 90,000 senarai hotel di seluruh dunia dan di situ kita akan kenal pasti mana hotel yang ada status makanan halal, atau sejadah mengikut kehendak pelancong Muslim,” katanya.
Jelas Faeez, pelancongan mesra Muslim berkembangan pesat kerana pelancong Muslim juga mahukan sebuah percutian tapi pada masa sama kekal dalam lingkungan konteks Islam.
“Anda boleh ke Korea dan tidak hanya makan kebab tetapi tetap boleh juga merasai pengalaman makanan tempatan yang halal,” katanya.
Bagaimanapun katanya terma pelancongan halal itu berbeza mengikut negara, dan Malaysia lebih selesa menggunakan istilah mesra Muslim.
Zain Azrai pula berkata, pelancongan mesra Muslim dan patuh syariah merupakan dua konsep berbeza.
“Di Malaysia kita gunakan pelancongan mesra Muslim sebab ia menampakkan lebih sederhana tidak seperti patuh syariah di mana peraturan lebih ketat termasuk pihak pengurusan juga perlu mematuhi (undang- undang) itu.
“Kita gunakan mesra Muslim maksudnya ia tidaklah terlalu ketat, kebanyakan hotel hanya perlu menyediakan sekurang- kurang satu restoran halal dan tempat sembayang,” katanya.
Zain berkata konsep pelancongan mesra Muslim yang lebih sederhana ini sebenarnya menarik lebih ramai pemain industri bukan Muslim.
“Hotel antarabangsa juga boleh sediakan pilihan untuk Muslim tanpa mereka tidak perlu menutup bar,” katanya. – 16 September, 2019.
Komen