PASUKAN peguam Najib Razak menuduh bekas pegawai khasnya, Amhari Efendi Nazaruddin berbohong di mahkamah berhubung hubungan sebenarnya dengan Low Taek Jho.
Semasa sesi soal balas, ketua peguam bela Muhammad Shafee Abdullah menuduh Amhari membuat kenyataan tidak konsisten tentang kekerapannya untuk menyemak semula dengan bekas perdana menteri itu berhubung kesahihan arahan Low berkenaan dengan hal 1Malaysia Development Berhad (1MDB).
“Jawapan-jawapan kamu sangat tidak konsisten, saya cadangkan anda sebenarnya tidak jawab dengan jujur dan mahu memerangkap anak guam saya. Oleh yang demikian, anda telah diberikan ganjaran sebanyak AS$1 juta. Iaitu, AS$800,000 kemudian AS$200,000 diberikan oleh Jho Low yang kamu kata sebagai pinjaman,” kata Shafee.
Tetapi Amhari menafikan cadangan Shafee itu
Dalam kenyataan saksi, Amhari berkata beliau jarang menyemak dengan Najib berhubung arahan Low.
Tetapi apabila sesi soal balas, saksi berusia 43 tahun itu berkata beliau sering menyemak dengan Najib.
Amhari turut menafikan dakwaan Shafee bahawa beliau diberikan AS$1 juta oleh Low atas bantuannya sebelum ini.
Shafee merujuk kepada wang AS$800,000 (RM3.33 juta) yagn diterima Amhari menerusi akaun bank BSI di Singapura dan satu lagi transaksi AS$200,000 yang dimasukkan ke akaun Maybank miliknya.
Amhari mendakwa wang itu merupakan pinjaman daripada Low untuk membantunya membeli rumah.
Selepas berita skandal 1MDB terbongkar pada 2015, Amhari berkata Low cuba mendapatkan pegawai kerajaan termasuk Najib tetapi beliau mendakwa tidak terlibat.
“Jho Low memberitahu kami (dalam bentuk dokumen) bahawa beliau tidak terlibat dalam 1MDB. Ia merupakan kenyataan asas bagi individu penting untuk berkata demikia. Malah difahamkan, Najib juga turut memberi jawapan yang sama,” kata Amhari.
Low kemudiannya meminta Amhari memusnahkan dokumen itu tetapi saksi itu tidak berbuat demikian.
Apabila ditanya tentang lokasi dokumen itu, Amhari berkata ia dipercayai sudah dirampas oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM). – 15 September, 2019.
Berita penuh di sini.
Komen