RAKYAT Malaysia kelas pertengahan dapat menyelamatkan negara ini daripada rasuah tetapi mereka perlu fokus kepada dasar, dan tidak terganggu oleh drama politik, kata wakil rakyat pembangkang semalam.
“Saya rasa kita sudah jadi pengguna politik. Kita hendak lihat benda sensasi berlaku dalam politik,” kata Ahli Parlimen Bukit Mertajam Steven Sim, dan berkata itu sebabnya pembangkang terpaksa jadi lantang, sebagai respons kepada situasi semasa.
“Kami (pembangkang) memberi respons kepada situasi yang dominan. Tanda kematangan politik sepatutnya untuk bercakap mengenai dasar yang menjadikan negara ini lebih baik,” katanya.
Sim berkata beliau berusaha untuk menjadikan politik “boring” dan menggesa orang ramai melihat melangkaui drama itu dan fokus kepada kerja ahli politik.
“Sama ada BN (Barisan Nasional) atau PH (Pakatan Harapan) apa yang ahli politik itu buat, itu yang rakyat mahu mereka buat. Lupakan saja drama itu.
“Lihat kerja mereka dan bagaimana mereka tadbir urus negara. Itu yang paling penting,” katanya ketika ditemui di forum bertajuk “Bolehkah Golongan Kelas Pertengahan Selamatkan Malaysia” di Petaling Jaya, malam tadi.
Sim berkata satu cara untuk mengatasi kesinisan ialah dengan berpura-pura bahawa tadbir urus yang baik itu wujud.
Sementara itu, Profesor Edmund Terence Gomez berkata rangka kerja institusi yang sempurna diperlukan untuk kelas pertengahan membawa perubahan pada pilihan raya umum ke-14 (PRU14).
Pensyarah ekonomi politik di Universiti Malaya itu berkata Malaysia memerlukan idea besar untuk menangani isu semasa, seperti pendapatan kelas pertengahan yang tidak bergerak, kualiti pendidikan dan kos penjagaan kesihatan semakin meningkat.
“Apa idea besarnya untuk Malaysia yang berbeza? Sekurang-kurangnya beri kami idea dan harapan supaya orang muda bila mereka mengundi, undi itu untuk satu perubahan.
“Undi akan beralih ke mana-mana parti yang tampil dengan dasar. Jika orang miskin lihat dasar itu dan nampak ada agenda dasar yang sempurna dapat membantu mereka, kenapa mungkin mereka tidak mahu undi pembangkang?”
Berhubung definisi “kelas pertengahan”, Sim berkata ada banyak faktor di sebaliknya, seperti pendapatan atau aspirasi mereka.
“Ada banyak kelas pertengahan di Malaysia,” kata Sim.
Gomez berkata beliau mendefinisikan kelas pertengahan sebagai mereka yang berpendidikan kerana ia “mekanisme penting” yang boleh digunakan untuk menyedarkan orang ramai. – 13 Oktober, 2017.
Komen