AHMAD Matari nama yang mudah diingat. Anak kecil berusia 11 tahun yang selalu muncul di sekitar Sogo menjual kacang tanah goreng tepung. Berbadan montel dan selalu berpakaian warna lusuh tetapi bersih.
“Belilah…,” katanya. “Saya tidak mengemis. Jual kacang cari wang sekolah, pakcik.”
Ahmad bukan pengemis. Saya lebih suka mengingatkan Matari nama bapanya. Ia begitu simbolik dan sinonim dengan sikap anak kecil yang ramah dan tabah. Dia seperti matahari.
Kalau minum kopi di kafe pintu masuk bangunan Sogo setiap petang Sabtu atau Ahad, Ahmad pasti ada di sana.
“Saya bawa 50 bungkus sehari. Emak goreng sendiri,” katanya.
“Kamu datang sini naik apa, Mad? Tanya saya.
“Jalan kaki, pakcik,” katanya: “Rumah saya di flat Kampung Baru.”
Ahmad bukan anak Rohingya yang berkeliaran mengemis di Dataran Sogo. Dia tidak menjual naskhah Yassin atau perekat kalimah agama. Bisnes Ahmad ialah kacang goreng tepung yang dijual RM1 sebungkus.
Ahmad mengingatkan saya pada kisah hidup lagenda biduanita Sharifah Aini dan superstar Siti Nurhaliza. Dua artis sohor ini juga menjaja kuih ketika kecil. Bezanya lainnya ialah, biografi hidup dua penyanyi ini adalah masa lalu. Sedangkan derita Ahmad ialah kesengsaraan seorang kanak-kanak hari ini.
Pada usia 11 tahun, Ahmad barangkali lebih sesuai berada di rumah pada cuti hari minggu. Sama ada mengulang kaji pelajaran atau turun bermain di sekitar flat dan menikmati fitrah pembesaran kanak-kanak.
Lebih romantis, kalau Ahmad menghabiskan masa bermanja-manja dengan ibu bapanya.
“Saya datang sini hujung minggu saja. Mula pukul 2 petang dan kena balik 7 malam. Emak pesan jangan sampai Maghrib. Bahaya,” katanya.
Kalau bertemu Ahmad, matanya ceria. Dia akan ceria kerana dua perkara. Pertama, budak gempal memang kaki makan. Dia suka burger besar dan salad serta kentang goreng. Itu antara menu utama di kafe tempat kami bertemu. Kedua, borong saja baki jualan kacangnya.
Dia akan tersengih kerana hidangan idamannya akan dipesan tanpa perlu merujuk menu. Cuma, bungkusan baki jualan kacang akan diletakkan di atas meja.
“Tapi nanti, pakcik beli juga kacang saya,” katanya: “Kalau saya asyik makan saja dan nanti kacang tak laku, kasihanlah emak.”
“Ya… ya… akan dibeli. Kamu makanlah burger dan cuba air lemon ini. Makan burger besar dan minum lemon. Nanti taklah gemuk sangat…”
Kami ketawa.
Ahmad satu antara puluhan wajah kanak-kanak yang bertarung hidup di jalanan Kuala Lumpur. Versi Ahmad hampir sama dengan versi Nordin dan Azidah di Dwi Tasik, Bandar Seri Permaisuri, Cheras.
Anak marhaen sedang berjuang
Nordin dan Azidah bekerja tujuh hari seminggu menjual kek coklat.
“Saya tinggal di Flat Penara,” kata Nordin.
“Berapa banyak kamu bawa kek sehari?” Tanya saya.
“12 biji sahaja. Bahagi dua dengan adik. Kami jual berasingan supaya cepat habis,” katanya.
Tujuh hari seminggu dan keluar berjualan pada 4 petang hingga kek habis dibeli orang, bukan satu tugas mudah. Apa lagi berpusing dan singgah di satu demi satu restoran dan kafe francais sekitar Dwi Tasik.
“Saya sekolah Darjah Enam dan adik Darjah Lima,” kata Ahmad.
Ini antara versi kisah anak-anak miskin bandar yang berjuang menjadi pencari rezeki tambahan untuk keluarga.
Bapa Ahmad pemandu lori yang berada di rumah hanya beberapa jam setiap minggu. Kehidupan tidak mudah kerana ayahnya memgambil upah membawa lori ke merata tempat di seluruh negara.
“Kena jual kek cokelat sebab emak tak kerja,” katanya.
Ini ungkapan biasa bagi keluarga miskin bandar. Memiliki ibu yang tidak bekerja dianggap simbol kemiskinan.
Seakan-akan ada isyarat – keluarga sempurna di bandar ialah memiliki ibu bapa yang bekerja.
Jurang pendapatan musuh kemakmuran
Kabinet bermesyuarat mengenai isu Kemakmuran Bersama semalam (Sabtu, 14 September). Sama ada menyentuh mengenai realiti peratusan kemiskinan menyentuh mengenai realiti peratusan kemiskinan atau menyusun pelan menangani itu tersebut, hanya kabinet yang lebih maklum fokus perbincangannya.
Berbincanglah dengan bijak dan penuh tanggungjawab. Asal jangan buang masa berdebat sesama sendiri soal angka realiti kadar kemiskinan. Beza antara fakta 0.4% mengikut data rasmi kerajaan atau 15% mengikut kajian Philip Alston. Itu semua hanyalah angka.
Kabinet boleh bergaduh secara terbuka mengenai isu lain. Tapi sesama menteri jangan buang masa bertekak dalam media sosial dan media massa soal menyelesaikan kemiskinan rakyat.
Anggap saja angka dan data kemiskinan sekadar mantera. Menyebutnya berulang kali pun hanya akan terdengar seperti jampi serapah gaya lama. Kita tidak mungkin menghalau hantu untuk menyembuhkan penyakit kanser.
Pendapatan RM980 sebulan sebagai garis kemiskinan tentulah tidak masuk akal. Angka itu hanya relevan untuk Palestin dan Syria. Itu angka bodoh kalau diguna pakai untuk Malaysia.
Manakala saranan median pendapatan RM3,300 ke bawah sebagai garis kemiskinan pula terlalu ideal.
Ketika graduan universiti menerima gaji pertama sekitar RM1800 ke RM2,300 sebulan - angka RM3,300 sekitar RM1800 ke RM2,300 sebulan, angka RM3,300 satu jerangkap samar. Ia akan menjadikan pemilik ijazah berada dalam senarai miskin untuk lima tahun pertama bekerja.
Kemakmuran Bersama satu tema yang memiliki cabaran besar. Apa lagi ketika isu jurang pendapatan antara pegawai elit dan pekerja marhaen sudah sekian lama memburukkan pasaran kerja.
Ada CEO GLC menerima gaji dan elaun sekitar RM200,000 sebulan dan di syarikat sama, pekerja marhaen hanya menerima gaji pokok RM1,600. Ia bukan lagi isu jurang pendapatan, tetapi ibarat gaung tinggi di puncak gunung dan jurang yang dalam menuju neraka.
Isu jurang pendapatan ialah krisis utama dalam melaksanakan makna Kemakmuran Bersama. Di agensi kerajaan pun, masih ada CEO menerima gaji antara RM30,000 ke RM45,000. Manakala pekerja terbawah terutama jawatan polis bantuan menerima gaji pokok RM1,200 sebulan.
Ahmad, Nordin dan Azidah antara mangsa jurang pendapatan. Kemiskinan bukan warisan atau sumpahan. Ia kesan akibat dasar dan polisi. Apabila budaya kapitalis dilaksanakan secara halus dalam dunia korporat moden, maka kekejaman berlaku secara senyap.
Pengurusan korporat dianggap wira dalam kejayaan meraih keuntungan. Mereka diberikan gaji dan pelbagai kemudahan luar biasa. Pekerja pula hanya dianggap penumpang yang patut bersyukur kerana berada di dalam kapal orang kaya.
Kabinet mungkin menerima begitu banyak input kajian. Malah, ratusan idea untuk pembaharuan. Namun, jangan jadikan pelan kemakmuran bersama dipenuhi dengan pelbagai subsidi. Itu bukan jalan keluar dan tidak akan menyelesaikan masalah utama.
Idea mudah cara Robin Hood, ada kalanya sangat masuk akal. Ambil sedikit bahagian orang kaya, dan berikan pada marhaen yang memerlukannya. Bunyi macam mudah saja, tetapi percayalah – keadilan inilah yang paling sukar dilaksanakan di Malaysia.
Ini negara di mana orang kaya mahu menyimpan timbunan wang di bawah tangga. Manakala orang miskin terpaksa menyuruh anak-anak kecilnya bekerja.
Kita sekarang sedang menjadi negara kasta sosial dan ekonomi yang teruk. Allah tidak akan reda dengan kelangsungan kejam ini.
Tugas Kabinet sekarang ialah mencari keadilan untuk kemakmuran bersama. – 15 September Ogos, 2019.
* Ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pandangan rasmi The Malaysian Insight.
* Zainal Rashid Ahmad ialah wartawan dan penulis sastera yang telah menghasilkan antaranya novel Hikayat Tanah Jauh (2015) dan kumpulan cerpen al-Kisah (2012), Yang Tercinta (2012), Empunya Hikayat (2014), Magis Kota (2016), Pop Urban (2017), dan kumpulan puisi Sepi Itu Mati (2016) dan Orang Sepi Pergi ke Gurun (2018). Beliau memenangi 38 hadiah sastera.
Komen