Umno-PAS harap naratif kegemilangan Islam kalahkan Pakatan pada PRU15  


Sheridan Mahavera

Presiden PAS Abdul Hadi Awang dan Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi menandatangani piagam kedua-dua parti di PWTC, Kuala Lumpur semalam. – Gambar The Malaysian Insight oleh Hasnoor Hussain, 15 September Ogos, 2019.

BAGI sesetengah umat Islam di Malaysia, piagam Umno-PAS umpama mimpi menjadi realiti kerana ia menyerupai piagam Madinah - perjanjian yang menjadi asas kepada masyarakat Islam pertama dalam sejarah. 

Sebelum menandatangani piagam Umno-PAS, Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi memberitahu Dewan Merdeka, Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) bahawa perjanjian itu diinspirasikan daripada perjanjian yang pernah termeterai di Arab Saudi 1,400 tahun lalu. 

Persamaan itu memainkan peranan mendalam kebangkitan zaman kegemilangan Islam ketika Nabi Muhammad (SAW) menyatukan kaum Arab Muslim, Yahudi dan Kristian.

Malah, Ketua Pemuda Umno, Asyraf Wajdi Dusuki menyifatkan pakatan Umno-PAS itu akan membuka jalan untuk zaman kegemilangan baru di Malaysia kerana dua kuasa politik umat Islam terbesar meninggalkan pertelingkahan sejak berdekad lalu untuk menyatukan dan menyelamatkan Malaysia.

Bagaimanapun, pemerhati politik tidak begitu pasti mengenainya. Ini kerana pertama, lanskap politik abad ke-21 di Malaysia berbeza dengan abad keenam Arab Saudi. Kedua, Nabi dan para sahabatnya tidak terpalit dengan skandal rasuah sebagaimana pemimpin Umno hari ini. 

Malah, penyatuan Umno dan PAS itu adalah untuk menentang kumpulan Islam lain yang turut mendakwa mereka memperjuangkan keadilan Islam, kesamarataan dan belas kasihan dan amal.

“Melayu tradisional, yang lebih senior akan tertarik dengan istilah piagam ini kerana mahu melahirkan semangat piagam Madinah. Mereka akan tertarik dengan tawaran Umno dan PAS. 

“Tetapi realitinya piagam ini adalah penyatuan untuk lawan Pakatan Harapan (PH),” kata pakar sains politik dari Universiti Teknologi Malaysia (UTM) Dr Mazlan Ali. 

Piagam dikenal sebagai “Muafakat Nasional” itu dipacu oleh enam teras dan mensasarkan untuk mempromosikan naratif baharu yang dipacu oleh Umno dan PAS yang sepatutnya menjadi pesaing kepada “Malaysia Baru” PH.

Kepimpinan Melayu-Islam menjadi teras utama muafakat nasional namun hak etnik dan agama masyarakat lain akan dilindungi. 

“Gabungan ini adalah satu strategi bagi masing-masing cuba meraih sokongan dan mengembalikan motivasi setelah kalah dalam Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) yang lepas,” kata penganalisis politik Mohd Azlan Zainal.

Umno juga dilihat cuba menumpang imej Islam PAS bagi membina persepsi baik dan memulihkan krisis keyakinan dikalangan rakyat setelah terpalit dengan banyak isu pada PRU lalu, kata Azlan yang juga pengarah eksekutif Ilham Centre.

Zahid dan bekas perdana menteri dan presiden Umno Najib Razak berdepan lebih 100 pertuduhan pecah amanah, rasuah dan pengubahan wang haram yang berlaku ketika mereka masih memegang kuasa. 

Umno sendiri diheret ke mahkamah kerana didakwa menerima wang yang dicuri daripada 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

“PAS cuba meraih dan meningkatkan sokongan pengundi Melayu dengan memanfaatkan akar umbi yang selama ini didominasi oleh Umno,” kata Azlan. 

“Gabungan Umno-PAS tidak lebih sekadar kerjasama demi kuasa dan hasrat ingin memerintah kembali.”

Umno dilihat cuba menumpang imej Islam PAS bagi membina persepsi baik dan memulihkan krisis keyakinan rakyat selepas terpalit dengan banyak isu pada PRU lalu. – Gambar The Malaysian Insight oleh Hasnoor Hussain, 15 September Ogos, 2019.

Ekonomi vs politik identiti 

Kedua-dua parti memilih untuk meletakkan piagam mereka dengan naratif nasionalis Melayu-Islam kerana ia berkesan dalam pilihan raya kecil di Cameron Highlands, Semenyih dan Rantau, kata Azlan.

Pada Himpunan Penyatuan Ummah menjelang pemeteraian piagam itu, pemimpin Umno dan PAS menyatakan keyakinan mereka untuk menawan sekurang-kurangnya lapan negeri pada PRU15.

Naib Presiden Umno Ismail Sabri Yaakob berkata, dengan memastikan undi Melayu tidak berpecah seperti yang berlaku pada PRU14, PAS dan Umno mampu memenangi sekurang-kurangnya 127 kerusi pada PRU15. 

Azlan berhujah bahawa pengiraan politik tidak begitu mudah dan kedua-dua parti perlu membuat konsesi yang serius untuk memecahkan satu gabungan yang ada.

Pertama, mereka perlu berkempen sebagai gabungan rasmi dan menggunakan satu simbol. Ini bermakna sama ada PAS menyertai Barisan Nasional, yang diketuai Umno, atau mereka perlu membuat yang baru.

“Untuk membuktikan kepada rakyat bahawa penyatuan tersebut benar-benar serius Umno-PAS perlu bersegera membentuk kerajaan gabungan di Kelantan, Terengganu, Pahang dan Perlis.”

Umno-PAS perlu berkempen dengan parti yang mempunyai sokongan akar umbi dari kalangan bukan Melayu yang kuat, dan mereka di Sabah dan Sarawak, kata Azlan. 

“Jika gabungan hanya antara Umno dan PAS, mereka akan menambah penguasaan di beberapa negeri seperti Kedah, Perak dan satu dua negeri lagi, tapi masih sengit untuk menguasai Malaysia tanpa sokongan Sabah dan Sarawak.

Walaupun Umno-PAS menjual visi kerajaan Islam, Mazlan dari UTM tidak fikir semua orang Melayu akan terpengaruh dengan naratif tersebut.

“Pengundi dewasa yang tertarik dengan politik identiti seperti agenda Melayu Islam. Majoriti pengundi PRU15 adalah orang muda yang risau tentang pekerjaan, gaji, taraf hidup, ekonomi kita. Pada mereka apa yang penting adalah nak beli rumah dan menyara diri sendiri dan keluarga,” kata Mazlan. 

“Kalau PH boleh selesaikan semua masalah ini dan tunjuk tadbir urus yang baik, dalam tiga tahun, mereka boleh bertahan walaupun berdepan naratif ini.” – 15 September, 2019.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen