Umno-PAS: Menyebar kemarahan tanpa harapan


Chan Kok Leong

Umno dan PAS yang bersaing mengakhiri permusuhan selama empat dekad dengan memeterai piagam kerjasama politik.– Gambar The Malaysian Insight oleh Hasnoor Hussain, 14 September Ogos, 2019.

EMPAT belas bulan sebelum Malaysia melalui pertukaran pertama kerajaan, Pakatan Harapan mencipta sejarah tersendiri apabila menerima Bersatu pimpinan Dr Mahathir Mohamad untuk bergabung pada 14 Mac 2017.

Matlamat Pakatan ialah menamatkan pemerintahan Barisan Nasional.

Hari ini, satu lagi sejarah politik Malaysia tercatat apabila Umno dan PAS yang bersaing mengakhiri permusuhan selama empat dekad dengan memeterai piagam kerjasama politik.

Dua parti Melayu-Islam yang terbesar dan paling tua itu juga mahu menamatkan pemerintahan Pakatan.

Sama seperti Pakatan, Umno dan PAS berharap dapat memerah kemarahan Melayu-Muslim yang cukup untuk memaksa kerajaan ini kalah pilihan raya.. Kalau dicongak-congak, ia bukan sesuatu yang mustahil kerana perkara terakhir yang dibuat oleh BN semasa ia kerajaan ialah mengatur kawasan pilihan raya untuk berpihak kepada Umno.

Tetapi hanya itu saja persamaan antara hasrat keduanya.

Ketika Pakatan berkempen menentang BN, Malaysia diremehkan di mata dunia sebagai kleptokrat terbesar, yang menyelewengkan dana mahsul untuk kepentingan peribadi. Rasuah berleluasa manakala jentera negara kerap menggunakan undang-undang hasutan untuk membungkamkan suara anti kerajaan. Yang rasuah bebas bermaharajela sementara pejuang dibisukan.

Sekarang tidak lagi begitu keadaannya.

Rasa hampa dan kecewa terhadap Pakatan hari ini bukannya tentang rasuah tetapi tentang bagaimana ia gagal mengotakan kata dan memenuhi harapan yang dijanjikannya. Orang marah kerana ia kurang cekap dan kurang pengalaman, dan bukannya kerana ia berwenang-wenangan.

Pada Selasa lalu, dokumentari M for Malaysia arahan Ineza Roussille dan Dian Lee mula ditayangkan di pawagam. Dokumentari ini muncul tepat pada masanya menjelang sambutan Hari Malaysia lusa.

Walaupun dokumentari itu berkisar pada Dr Mahathir semasa kempen PRU14, ia juga mengangkat kisah keberanian, kesatuan dan kesungguhan yang tidak pernah ditunjukkan oleh rakyat sejak mereka berjuang menentang Malayan Union atau semasa menuntut Merdeka.

Di sebalik rasa marah dan kecewa terhadap BN, dokumentari itu menterjemahkan harapan rakyat yang mahu menamatkan zaman BN yang sewenang-wenangnya serta mengimpikan sebuah Malaysia yang lebih baik.

Ini dilihat apabila rakyat bersama-sama menggerakkan kempen Jom Balik Undi selepas Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya, Mohd Hashim Abdullah mengumumkan PRU14 akan diadakan pada Rabu, 9 Mei.

M for Malaysia diakhiri dengan mesej harapan daripada bekas pengerusi Bersih, Ambiga Sreenevasan yang mengingatkan Pakatan betapa rakyat sudah menunjukkan “daya dan upaya, keberanian dan kesungguhan”, dan sekarang masanya untuk mereka melakukan hal yang sama.

Selepas hari ini, Umno dan PAS akan membentuk naratif baru terhadap kerajaan.

Mereka akan memerahkan kemarahan Melayu-Muslim terhadap Putrajaya dengan mengetengahkan kesilapan dan kurangnya pengalaman Pakatan. Atas nama solidariti, mereka akan mengheret kumpulan pinggiran untuk memboikot barangan dan perkhidmatan rakyat Malaysia yang lain.

Untuk menyerang DAP, mereka akan menyalahkan parti majoriti kaum Cina itu atas segala keputusan Putrajaya, yang baik atau yang buruk. Mereka akan menyebarkan kebimbangan ini.

Tetapi tidak seperti Pakatan, Umno dan PAS tidak boleh menawarkan harapan atau janji kepada rakyat, atas isu Melayu dan Muslim semata-mata. Tentunya tidak apabila idea Presiden PAS tentang perpaduan disandarkan pada dominasi kaum dan agama.

Ia juga tidak menawarkan harapan untuk sebuah kepimpinan yang bebas rasuah apabila presiden Umno sekarang dan sebelum sedang berdepan dengan pelbagai tuduhan di mahkamah.

Dalam erti kata lain, Umno dan PAS hanya akan menyebarkan kemarahan tanpa harapan. – 14 September Ogos, 2019.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen