JIKA beliau masih hidup hari ini, Nik Abdul Aziz Nik Mat akan gembira dengan permuafakatan politik baharu antara Umno dan PAS kata presiden PAS Abdul Hadi Awang.
Pemimpin rohani dan bekas mursyidul am PAS tersebut terkenal kerana tidak menyukai Umno dan dipercayai merupakan halangan terbesar bagi usaha PAS untuk bekerjasama dengan Umno ketika beliau masih hidup.
Bagaimanapun, Abdul Hadi berkata Nik Aziz akan memberi restunya kepada kerjasama PAS dan Umno yang digelar sebagai Piagam Muafakat Nasional yang ditandatangani hari ini.
Menurut Hadi, ia adalah kerana piagam tersebut adalah satu bentuk kerjasama politik atau ‘ta’awun’ antara Umno dan PAS, dan bukan gabungan rasmi.
“Ta’awun adalah istilah yang diterima oleh Nik Aziz semasa dia masih hidup. Kerjasama (dengan Umno) pada tahun 70-an adalah tahaluf (gabungan),” kata Hadi kepada pemberita.
“Kita perlu memulakan pendekatan baru iaitu kerjasama. Ia telah dibincangkan oleh majlis syura, ketika Nik Aziz masih hidup,” kata Hadi merujuk kepada majlis perundangan yang mempunyai kuasa untuk memutuskan hala tuju politik PAS.
Piagam baharu ini menggariskan syarat-syarat kerjasama antara dua parti politik Melayu terbesar dalam kempen jangka panjang mereka untuk memenangi pilihan raya umum ke-15, yang akan diadakan pada tahun 2023.
Piagam itu adalah perjanjian antara Umno dan PAS, yang bertentangan dengan susunan formal seperti Umno dan parti komponen MCA dan MIC di bawah pakatan Barisan Nasional.
PAS pernah menjadi sebahagian daripada BN dari 1972 hingga 1977 selepas ia meninggalkan pakatan politik itu selepas mendakwa bahawa Umno telah menyalahgunakan dan mengambil alih kerajaan negeri Kelantan yang dikawalnya.
Sejak itu, PAS, di bawah pengaruh Nik Aziz, telah tegas menolak sebarang pemikiran kerjasama politik dengan Umno.
Nik Aziz, bekas Menteri Besar Kelantan, meninggal dunia pada Februari 2015.
Pada tahun yang sama, pemimpin PAS dan penggubal undang-undang PAS berpecah daripada parti itu untuk membentuk parti Amanah, yang merupakan parti komponen gabungan Pakatan Harapan.
Salah satu sebab perpecahan tersebut adalah percanggahan pendapat mengenai kerjasama PAS dengan Umno.
Dua orang anak Nik Aziz kini aktif dalam politik walaupun masing-masing mempunyai pendirian politik tersendiri. Nik Mohamad Abduh adalah ahli jawatankuasa pusat PAS dan Ahli Parlimen Bachok.
Sementara seorang lagi anak lelaki beliau, Nik Omar, adalah pemimpin Amanah, saingan politik baru PAS. – 14 September, 2019.
Komen