Jurang pendapatan tumpuan utama Wawasan Kemakmuran Bersama, kata PM


Ragananthini Vethasalam

Jemaah Menteri sebulat suara bersetuju usaha merapatkan jurang kekayaan negeri dan individu jadi tumpuan utama dasar jangka panjang Malaysia, kata Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad. – Gambar The Malaysian Insight oleh Najjua Zulkefli, 14 September, 2019.

MERAPATKAN kesenjangan pendapatan akan menjadi tumpuan utama Wawasan Kemakmuran Bersama 2021-2030, umum Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad.

“Kami (Kabinet) bersetuju sebulat suara yang wujud kesenjangan dalam negara ini. Ada negeri yang kaya dan ada negeri yang miskin,” katanya pada sidang media selepas mempengerusikan mesyuarat khas Jemaah Menteri di Putrajaya hari ini.

Tumpuan wawasan baharu itu adalah untuk meningkatkan pendapatan negeri miskin seperti Kelantan, Perlis dan Kedah.

Selain kesenjangan antara negeri, dasar itu juga akan menangani jurang pendapatan kawasan bandar dan luar bandar selain kumpulan kaya dan miskin.

Menggunakan contoh pendapatan eksekutif kumpulan C-suite dan rakan seangkatannya, Dr Mahathir berkata jurang pendapatan yang jelas wujud antara kumpulan kaya dan miskin perlu ditangani.

Eksekutif kumpulan C-suite adalah eksekutif kanan syarikat yang bertanggungjawab ke atas dasar dan perancangan besar syarikat. Selalunya ia merujuk kepada ketua pegawai eksekutif.

“Seorang eksekutif di syarikat ini mempunyai pendapatan tahunan RM2-3 juta, sedangkan gaji pekerja biasa jauh lebih rendah,” katanya.

“Kita perlu meningkatkan pendapatan mereka tetapi bukan hanya dengan menaikkan gaji tetapi juga meningkatkan produktiviti,” tambahnya.

Jelasnya, disebabkan itu, wawasan itu akan menjadi teras utama Rancangan Malaysia ke-12 dan 13, yang juga akan memberi penekanan kepada program pembangunan teknikal seperti Pendidikan Teknikal dan Latihan Vokasional (TVET).

Beliau turut menambah bahawa TVET akan diberikan keutamaan bagi meningkatkan tenaga kerja mahir.

Mengenai peruntukan pembiayaan untuk memacu inisiatif itu, Dr Mahathir berkata kerajaan akan memotong peruntukan di bidang-bidang bukan keutamaan demi meningkatkan bajet kepada inisiatif yang dilihat sebagai keutamaan.

Dr Mahathir berkata Wawasan Kemakmuran Bersama tidak bermakna bahawa semua orang akan menjadi bilionair, tetapi ia bertujuan untuk menjamin kesejahteraan rakyat dalam ruang lingkup tahap pendapatan mereka.

Wawasan Kemakmuran Bersama sebulat suara diluluskan Kabinet.

Kertas kerjanya akan dibentangkan kepada dalam mesyuarat jemaah menteri tidak lama lagi, kata beliau lagi.

Sementara itu, Menteri Hal Ehwal Ekonomi, Azmin Ali berkata elemen-elemen Wawasan Kemakmuran Bersama akan dapat dilihat dalam Bajet 2020, walaupun ia akan mula dilaksanakan dalam Rancangan Malaysia ke-12 dan ke-13.

Peruntukan bagi bidang-bidang utama akan diserahkan kepada pertimbangan Kementerian Kewangan. – 14 September, 2019.


 


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen