PAKATAN terbaru PAS dan Umno menawarkan “kerjasama baharu untuk Malaysia”, kata Ahmad Zahid Hamidi yang mendakwa ia akan menyelesaikan ketidakstabilan dan kekecohan dalam negara dicetuskan kerajaan Pakatan Harapan.
Presiden Umno itu berkata kerjasama terjalin itu membentuk asas kepada piagam politik baharu antara dua parti Melayu, yang merupakan parti terbesar dalam Malaysia berdasarkan jumlah keahlian.
Katanya lagi, kedua-dua parti bukan hanya mahu mengukuhkan bank undi orang Melayu tetapi juga berusaha menarik undi pengundi bukan Islam.
Piagam dikenal sebagai “Muafakat Nasional” itu ditandatangani Zahid dan Presiden PAS Abdul Hadi Awang hari ini, seterusnya menamatkan perseteruan hampir empat dekat kedua-dua parti berpengaruh itu.
Piagam itu juga membentuk pakatan pembangkang baharu yang akan berkempen untuk menumbangkan kerajaan PH pada Pilihan Raya Umum ke-15 akan datang.
“Umno dan PAS mampu memberikan formula baru, kerjasama baharu untuk mewujudkan negara yang aman dan makmur. Inilah komitmen kami,” kata Zahid kepada puluhan ribu ahli Umno dan PAS yang memenuhi dewan pusat konvensyen PWTC.
“Kerjasama baharu” adalah salah satu daripada enam teras piagam, kata Zahid. Sementara yang lain termasuk:
1 - Memeterai kesepakatan (muafakat) berdasarkan akidah Islam, bukan kepentingan politik.
2 - Menyelesaikan masalah semasa negara dan mewujudkan keharmonian nasional.
3 - Memperkenal dasar alternatif timbang tara dan kemampanan, dan menamatkan ‘kakistokrasi’ pentadbiran semasa yang menjadikan negara sebuah negara gagal.
4 - Memelihara hak semua kaum dan menegakkan kontrak sosial yang merupakan asas negara ini.
5 - Mengekalkan kepimpinan negara yang berteras Melayu dan Islam, yang berani dan berkebolehan. Ketidakstabilan yang wujud hari ini adalah kerana kepimpinan tidak berani dan tidak berkebolehan.
Zahid mendakwa bahawa Piagam Muafakat Nasional adalah untuk semua komuniti dan kumpulan, stabil, inklusif dan akan membawa kemakmuran kepada semua.
“Persetujuan ini adalah untuk orang Melayu, Cina, India, Kadazan, Ibans, Orang Asli, Siam, dan setiap komuniti di Malaysia.” – 14 September, 2019.
Komen