Komponen BN, Gagasan Sejahtera boleh jernihkan salah faham penyatuan ummah, kata Hadi


Mohd Farhan Darwis Sheridan Mahavera

Komuniti bukan Melayu dan Islam dalam Barisan Nasional dan Gagasan Sejahtera yang diterajui PAS perlu memainkan peranan membantu memastikan matlamat penyatuan ummah tidak dirosakkan oleh makhluk perosak yang mahu menggagalkan usaha tersebut, kata Presiden PAS Abdul Hadi Awang. – Gambar The Malaysian Insight oleh Hasnoor Hussain, 14 September, 2019.

PENYERTAAN rakan komponen bukan Melayu dan Islam boleh menjernihkan salah faham kelompok itu terhadap kerjasama antara Umno dan PAS, kata Presiden PAS Abdul Hadi Awang.

Hadi berkata, komuniti bukan Melayu dan Islam dalam Barisan Nasional (BN) dan Gagasan Sejahtera yang diterajui PAS perlu memainkan peranan membantu memastikan matlamat penyatuan ummah tidak dirosakkan oleh makhluk perosak yang mahu menggagalkan usaha tersebut.

“Insya-Allah, kehadiran sahabat kita daripada bukan Melayu dan bukan Islam dapat menjernihkan keadaan.

“Namun keadaan yang cerah sebenarnya perlu melalui perubahan semula landskap negara yang dirosakkan oleh makhluk-makhluk perosak yang masih berkeliaran ini,” katanya. 

Beliau berkata demikian ketika berucap dalam Himpunan Penyatuan Ummah di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC), hari ini.

PAS dan Umno memeterai Piagam Muafakat Nasional secara rasmi hari ini yang memperincikan bentuk kerjasama dua parti Melayu dan Islam terbesar di dalam negara.

Hadi dalam ucapannya berkata, selain kumpulan bukan Melayu dan bukan Islam yang salah faham terhadap penyatuan itu, terdapat juga kelompok Melayu yang menjadi kuda kayu tunggangan yang sengaja tidak mahu memahaminya.

“Sama ada bukan Melayu yang salah faham atau Melayu yang jadi kuda kayu yang ditunggang.

“Kaum lain bukan Melayu dan bukan Islam sepatutnya jangan khuatir dengan adanya jaminan dan hak-hak dalam al-Quran yang wajib diimani penganut Islam dan ditegaskan dalam Perlembagaan,” katanya.

PAS dan Umno memeterai Piagam Muafakat Nasional secara rasmi hari ini yang memperincikan bentuk kerjasama dua parti Melayu dan Islam terbesar di dalam negara. – Gambar The Malaysian Insight oleh Hasnoor Hussain, 14 September, 2019.

Beliau juga mengingatkan terdapat segelintir pemimpin politik dan individu tertentu yang sengaja menyentuh isu sensitif.

“Apa yang dibimbangi keberanian melulu parti politik dan sifat individu yang menunjukkan sikap mencabar Islam, hak Melayu dan Bumiputera dan raja-raja, yang boleh mencetuskan ketegangan dan merosakkan hubungan yang baik.

“Orang Islam sendiri yang hilang jati diri Islam dan Melayu laksana tikus kekenyangan dalam kepuk padi atau semut bergelimpangan bersama gula.

“Mereka ini turut sama berperanan merosakan konsep dominasi kaum yang memimpin bersama Islam,” katanya lagi.

Sehubungan itu, Hadi menyeru rakyat menolak golongan berkenaan dalam Pilihan Raya Umum ke-15 akan datang.

“Rakyat pelbagai kaum hendaklah menolak makhluk perosak ini dan dalam pilihan raya umum akan datang mesti ditolak mereka.”

Tegasnya, PAS dan Umno tetap menerima kehadiran kaum lain dalam landskap politik negara, tetapi ia perlulah dalam aspek masyarakat majmuk acuan Islam yang dipimpin Melayu Islam.

PAS juga, tambahnya, sudah ada ahli bukan Islam dalam Dewan Himpunan Penyokong PAS dan parti pelbagai kaum dalam Gagasan Sejahtera.

Manakala, Umno juga terus menjalin hubungan dengan parti kaum lain seperti MCA dan MIC.

“Ini adalah titik persamaan di antara dua parti Melayu Islam yang boleh menerima siapa sahaja yang bersama konsep ini.

“Kita juga bersama menentang siapa sahaja yang mahu merosakkan negara ini yang tidak mahu mengikut acuan kita,” katanya.

Orang Melayu manga pertama terburuk penjajahan, kata Presiden PAS Abdul Hadi Awang. – Gambar The Malaysian Insight oleh Hasnoor Hussain, 14 September, 2019.

Jelas Hadi lagi, penyatuan ummah itu dimulakan PAS dan Umno kerana mereka mempunyai banyak titik persamaan, selain parti paling awal dalam perjuangan mencapai kemerdekaan.

Titik persamaan itu katanya telah berjaya meletakkan asas penting dalam Perlembagaan Malaysia iaitu kedudukan Islam, hak agama lain, hak Bumiputera, bahasa kebangsaan, dan hak bermasyarakat majmuk.

“Pertembungan hanya dalam perbezaan pendekatan dan salah faham dalam perkara cabang yang bersifat teknikal.

“Maka dalam menghadapi cabaran yang lebih besar, kita wajib bersatu dalam perkara dasar dan asas, dan boleh bertolak ansur dalam perbezaan, serta bermaaf-maafan dalam pertembungan,” katanya.

Hadi berkata teori “Malaysian Malaysia” yang terarah untuk menghapuskan hak orang Melayu dan Bumiputera dan kedudukan agama Islam, adalah ajaran salah dan melanggar sempadan konsep negara diamalkan negara ini.

Perkelahian kerana perbezaan bangsa berkonsepkan asabiyah dan fanatik juga kata Hadi adalah salah kerana semua rasul yang membawa Islam mengajar sayang kepada bangsa masing-masing dan melarang asabiyah.

Katanya, dakwaan “Malaysian Malaysia” dicetuskan kerana wujud diskrimasi terhadap kaum lain adalah tidak benar.

Ini adalah kerana, orang Melayu dan Bumiputera adalah mangsa pertama kezaliman penjajahan beratus tahun dan lebih awal memulakan gerakan menentang penjajahan.

“Dalam semua hal ini, tidak ada perbezaan di antara PAS dan Umno, maka Islam mengajar kami, ada masa untuk berbalah, bukannya berbalah sepanjang masa dan jangan melampaui batas apabila berbalah.

“Sekarang perbalahan sudah rapat ke dinding yang disekat oleh sempadan Islam yang menyatukan kita,” katanya. – 14 September, 2019. 


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen