AKTIVIS Parti Sosialis Malaysia (PSM) Khalid Ismath dibebaskan dengan jaminan polis selepas semalaman dalam tahanan polid kerana didakwa menghina institusi beraja.
Ketua Pemuda PSM Nik Aziz Afiq Abdul berkata Khalid dibebaskan sekitar jam 12.15 tengahari tadi dengan jaminan polis selepas diambil keterangan di bawah Seksyen 112 Kanun Prosedur Jenayah.
“Dia ditahan di bawah Akta Hasutan malam tadi tetapi dibebaskan dengan jaminan polis sebentar tadi,” katanya.
Nik Aziz berkata polis membatalkan rancangan menahan reman Khalid dan memutuskan untuk hanya mengambil keterangan.
“Kami sentiasa bersedia untuk bekerjasama dengan pihak berkuasa tanpa perlu menahan aktivis kami. Ia hanya membuang masa dan sumber polis,” tambahnya.
Nik Aziz juga meluahkan penghargaan PSM kepada Raja Permaisuri Agong Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah yang meluahkan bantahan terhadap penahanan itu di Twitternya semalam.
“Saya sangat murka dengan tindakan polis menahan individu terlibat. Sejak sekian lama, saya dan suami tidak pernah membuat laporan polis mengenai perkara buruk yang dikata mengenai kami.
“Ini negara bebas,” titah Tunku Azizah dalam catatan di Twitternya itu.
Bagaimanapun, pemeriksaan terkini menunjukkan Tunku Azizah kembali menutup akaun Twitternya.
Sementara itu, PSM juga mendesak kerajaan Pakatan Harapan memansuhkan Akta Hasutan seperti dijanji dalam manifesto pilihan rayanya.
“Kami kesal yang akta itu masih digunakan dalam Malaysia Baharu. Kami menuntut kerajaan untuk menghapuskan undang-undang drakonian secepat mungkin.
“Akta Hasutan adalah pelanggaran hak asasi manusia di negara ini dan bertentangan dengan hak kebebasan bersuara. Mereka yang masih ditahan di bawah akta ini perlu dibebaskan serta merta,” kata Nik Aziz lagi.
Khalid, bekas ketua Pemuda PSM ditahan malam Jumaat di rumahnya di Klang kerana didakwa memuat naik catatan menghina dituju kepada Tunku Azizah.
Penahanan Khalid berlaku beberapa jam selepas Permaisuri Agong itu menerusi Instagramnya menjelaskan bahawa penutupan akaun Twitternya dibuat kerana sebab peribadi.
Khalid pula menafikan memuatnaik catatan menghina Tunku Azizah, mendakwa jadi “kambing hitam” pihak tertentu. – 14 September, 2019.
Komen