UMNO dan PAS yang akan menandatangani piagam kerjasama hari ini memberi jaminan kepada orang bukan Melayu dan Islam bahawa mereka akan memastikan rakyat di negara ini bersatu padu.
Timbalan Presiden Umno Mohamad Hasan berkata apa yang menjadi keutamaan bagi kedua-dua parti Melayu terbesar itu ialah mengukuhkan kerjasama sebelum menangani isu perpaduan antara kaum.
“Kepada orang bukan Islam, usah terlalu risau. Ummah adalah perkataan Arab yang bermaksud masyarakat. Maknanya, termasuk semua orang,” katanya ketika berucap di hadapan penyokong pada Himpunan Penyatuan Ummah di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC), malam tadi.
“Tetapi yang pertama sekali, kerjasama antara Umno dan PAS.”
Kemudian barulah tumpuan akan diberi kepada perpaduan negara, tambah Mohamad.
“Kita akan bina perpaduan yang lebih besar. Masyarakat kita akan lebih majmuk,” katanya.
Beliau seterusnya mengalih tumpuan kepada DAP, menuduh parti itu mahu mengubah Malaysia menjadi sebuah republik.
“Mereka nak jadikan Malaysia sebuah republik yang membawa kempen ‘Malaysian Malaysia (Malaysia milik rakyat Malaysia)’. Kalau DAP terus perintah, Malaysia akan jadi negara yang gagal.”
Turut berucap pada himpunan di PWTC malam tadi ialah Timbalan Presiden PAS Tuan Ibrahim Tuan Man yang senada dengan Mohamad. Umno katanya, telah memerintah Malaysia dengan aman selama 60 tahun, manakala PAS sudha lebih 3o tahun memerintah Kelantan.
“Tak ada huru-hara kecuali 13 Mei,” katanya, merujuk kepada rusuhan kaum pada 1969.
“Usaha kita tak akan cetus masalah kaum di negara ini.”
DAP katanya tidak dapat menerima hak orang lain melainkan haknya sendiri. – 14 September, 2019.
Komen