PADA pagi Ahad itu, suami mereka jadi perhatian orang ramai yang datang ke Taman Tugu dekat Tugu Negara di Kuala Lumpur, namun isteri bekas tentera itu juga ada cerita mereka yang tersendiri.
Sambil duduk memerhatikan suami mereka dan rakan seperjuangan bekas tentera mengimbau semula kisah perjuangan dan keberanian, Jill Tan dan Hasna Hashim bersoreh tentang hari ketika mereka tinggal di berek askar, menunggu suami balik dari perbatasan.
“Kita orang Malaysia, macam inilah sepatutnya,” kata Hasna, pesara kerajaan, sambil merenung anak-anak berbilang kaum bermain di Taman Tugu dan menyanyikan lagi patriotik, Ahad lalu.
Suami beliau, dan juga suami kepada Tan, adalah anggota Persatuan Patriot Kebangsaan, yang pada hari itu menganjurkan program Human Library. Program itu menampilkan manusia sebagai ‘buku’ – atau sesi berkongsi cerita dan pengalaman – mengenai kisah mereka semasa berkhidmat dalam pasukan tentera.
Acara itu dianjurkan ketika masyarakat bertelagah tentang isu tulisan Jawi dan kempen beli barangan buatan Muslim, yang terheret ke dalam soal kaum.
Hasna, 71, yang memakai baju celoreng hijau dan bertudung memberitahu The Malaysian Insight beliau kesal bagaimana isu kaum dan agama mengubah hubungan rakyat.
Beliau yang membesar di flat di belakang Penjara Pudu berkata semasa tinggal di kem tentera, beliau selalu ada jiran bukan Melayu.

“Kami tidak bersetuju atas banyak perkara dan selalu bertekak tetapi kami masih kawan akrab, selalu berjumpa untuk makan tengah hari,” katanya.
Bagaimanapun beliau tidak pasti orang lain yang “di luar” sedar betapa mereka saling memerlukan antara satu sama lain.
Semasa suami mereka berjuang di hutan melawan komunis, isteri perajurit belajar berdikari dan saling membantu sesama keluarga tentera yang tinggal di berek, katanya.
“Kami belajar untuk menolong satu sama lain,” kata Hasna, isteri kepada Leftenan Kolonel (Bersara) Mohd Yusof Abdul Razak.
Yusof ditugaskan di Perak dalam operasi membanteras komunis selama enam tahun pada 1970-an.
Tan, guru besar pencen, masih ingat bagaimana beliau hanya bersendirian di kem tentera di Port Dickson semasa mengandungkan anak sulungnya.
“Suami pada masa itu berkhidmat di Borneo. Dia tak ada sama pun masa anak sulung kami lahir,” katanya.
“Bila tiba waktu bersalin, pegawai cari orang untuk bawa saya ke hospital di pekan PD,” kata bekas guru Bahasa Inggeris dan Sains Rumahtangga itu.

Suami Tan, Leftenan Kolonel (Bersara) Shanan Wee bertugas di Borneo selama sembilan bulan pada masa itu.
Katanya, hidup di berek mengajar isteri perajurit yang berbilang kaum untuk hidup bersama. Tan berkata beliau sudah tinggal di lebih enam kem.
“Tidak ada gunanya melihat sesuatu dari kaca mata perkauman. Dalam tentera, kami makan dan tidur bersama. Apabila dihukum, semua pun dihukum bersama,” kata Tan, yang tinggal di kem di Port Dickson lebih 12 tahun.
“Siapa lagi hendak tolong kalau bukan kita tidak tolong satu sama lain?”
Sementara itu, Hasna percaya kesedaran sivik dan integrasi sepatutnya diajar sejak sekolah.
“Kita perlu belajar menerima pandangan satu sama lain yang berbeza tanpa bertengkar,” tambahnya.
Tan yang menjadi guru selama 36 tahun pula berkata rakyat Malaysia perlu belajar untuk jadi warganegara yang baik dan berhenti daripada terlalu memihak.
“Kita tidak boleh elak semasa pilihan raya tetapi isu tidak harus ditentukan mengikut kaum dan agama sahaja.
“Ia mesti dilihat dari kepentingan negara,” katanya. – 14 September, 2019.
Komen