AHLI Umno dan PAS sedia untuk mengetepikan sejarah pahit antara mereka untuk bersama-sama ke arah tujuan yang mereka sifatkan lebih besar - untuk menyatukan orang Melayu dan menewaskan Pakatan Harapan.
Bagi ahli PAS, mereka masih ada keraguan tentang Umno namun sanggup mengambil risiko dikhianati kerana percaya niat mereka untuk bekerjasama adalah ikhlas.
Ahli Umno pula merasakan pemeteraian piagam politik dengan PAS adalah sesuatu yang bersejarah kerana ia merealisasikan hasrat untuk melihat orang Melayu bersatu di bawah satu sepanduk politik.
Dua parti itu yang menjadi musuh politik sejak hampir 40 tahun, dijangka akan menandatangani piagam hari ini yang akan menyaksikan kerjasama sebagai satu pakatan pada Pilihan Raya Umum Ke-15.
Tema kepada pakatan baharu ini adalah penyatuan ummah dan mencerminkan naratif politik PAS dan Umno bahawa orang Melayu dan Islam diancam oleh kerajaan Pakatan Harapan.
Dua parti berkenaan, yang memiliki keahlian paling ramai di Malaysia percaya mereka mampu menumbangkan kuasa persekutuan dengan menggabungkan sokongan mereka dalam masyarakat Melayu yang terdiri daripada 60% pengundi.
PAS dan Umno mengadakan program dan ceramah di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) di Kuala Lumpur semalam menjelang majlis menandatangani piagam itu hari ini.

“Ada yang mengatakan jika kita tolong umno nanti dia tikam belakang bila dia menang nanti,” kata ahli PAS berasal dari Kedah, Taufik Sobri yang turut hadir ke Kuala Lumpur bagi menyertai perhimpunan semalam.
“Tapi itu tak penting bagi saya. Bagi saya niat itu penting. Kalau niat dah baik itu pun dah dapat pahala. Kita nak satukan orang Islam.”
PAS pernah menjalinkan kerjasama dengan Umno ketika menyertai Barisan Nasional pada 1972. Namun parti Islam itu meninggalkan pakatan berkenaan pada 1977 selepas menuduh Umno cuba menggulingkan kerajaan PAS Kelantan pada 1977.
Sejak itu, dua parti berkenaan bertelingkah untuk mendominasi masyarakat Melayu, dan pemimpin PAS pernah melabelkan Umno sebagai kafir kerana layanan buruk terhadap PAS.
Ahli PAS Gombak, Azwan Kamarulzaman berkata, beliau boleh memaafkan Umno atas segala kesalahan yang dibuat kepada PAS.
“Saya sanggup maafkan dan lupakan sejarah antara PAS dan Umno demi kepentingan Melayu dan Islam. Kita mahu Islam memimpin kerana majoriti negara ini adalah orang Melayu dan Islam.”
Pemimpin Umno Sabah, Bung Mokhtar Radin tidak menjangkakan beliau akan menyaksikan hari yang mana dua parti duduk bersama-sama selepas menjadi musuh politik sejak berdekad lalu.
“Saya tak pernah terfikir kan berlaku penyatuan tapi ini takdirnya. Pemimpin PAS dan Umno bertelagah 40 tahun tapi hari ini dapat bersatu.
“Dalam penyatuan ini apa yang berlaku ekoran daripada kekalahan Umno dan PAS pada PRU lalu. Setiap kekalahan itu ada hikmahnya, beri kesedaran Melayu Islam perpecahan ini merugikan umat Islam itu sendiri,” katanya.
Ketua Pemuda Umno Asyraf Wajdi Dusuki berkata, beliau ketepikan amarahnya terhadap PAS agar mampu terus ke hadapan bersama mereka.
“Kalau nak cakap tentang marah saya terhadap PAS saya boleh berucap sampai Isyak. Tuhan saja tahu kemarahan saya terhadap PAS.
“Tapi ketua Pemuda PAS pun boleh cakap yang sama tentang kemarahan dia terhadap umno. Tapi saya kena tinggalkan itu semua untuk maju ke depan.”

Calon PAS pada piihan raya kecil Port Dickson, Mohd Nazari Mokhtar berkata, kerjasama antara kedua-dua parti pernah dinyatakan oleh beberapa pimpinan PAS sebelum ini, tetapi cadangan itu dihalang oleh beberapa pihak lain dalam parti.
“Kebetulan kita kalah dan BN pun kalah. Bila kalah dengan kalah boleh duduk semeja, banyak kepentingan Melayu Islam boleh dirancang dan dilaksanakan.”
Walaupun tema gabungan Umno dan PAS adalah perpaduan Melayu dan Islam, gabungan politik itu tidak akan mengetepikan bukan Islam, kata exco Pemuda Umno Wan Muhammad Azri Wan Deris.
“Saya yakin esok pemimpin-pemimpin akan mengumumkan tawaran yang menarik. Dalam konteks negara Malaysia ini bermakna kita nak jaga Melayu, Cina dan India.
“Jadi saya yakin esok, pemimpin Umno dan pemimpin PAS akan memberikan tawaran yang baik bukan sahaja kepada orang Melayu, malah kepada orang Cina dan juga India untuk mereka faham apa itu penyatuan ummah dan hala tuju seterusnya untuk PRU ke-15. – 14 September, 2019.
Komen