Samirah jerit minta tolong selamatkan suami, kata saksi


Alfian Z.M. Tahir

Samirah bersama dua anaknya dituduh membunuh suaminya Ketua Eksekutif Cradle Fund Nazrin Hassan dan menutup cerita dengan mengatakan lelaki itu mati dalam kebakaran disebabkan telefon bimbit yang meletup. – Gambar The Malaysian Insight oleh Kamal Ariffin, 13 September, 2019.

TERTUDUH  Samirah Muzaffar dilihat cemas dan menjerit meminta bantuan untuk menyelamatkan suaminya ketika rumah mereka terbakar pada 14 Jun 2018, Mahkamah Tinggi mendengar hari ini.

Samirah bersama dua anaknya dituduh membunuh suaminya Ketua Eksekutif Cradle Fund Nazrin Hassan dan menutup cerita dengan mengatakan lelaki itu mati dalam kebakaran disebabkan telefon bimbit yang meletup.

Pengawal keselamatan warga Nepal Raju Kumar Pandit yang merupakan saksi keempat memberitahu Mahkamah Tinggi Shah Alam bahawa Samirah memintanya membantu menyelamatkan suaminya yang berada di bilik di tingkat atas rumah mereka di Mutiara Damansara.

“Ketika saya masuk pagar rumah, Samirah berada di anjung rumah dalam keadaan menangis dan meminta pertolongan. Saya masuk ke rumah dan naik ke tingkat atas.

“Jiran sudah ada di sana dan dia memberikan saya alat untuk memecahkan tombol pintu.

“Samirah menjerit ‘suami saya, suami saya ada dalam bilik’,” katanya.

Raju memberitahu mahkamah bahawa salah seorang daripada anak-anak Samirah menjerit: “ayah saya, esok Hari Raya (sambutan Hari Raya)”.

Beliau menjawab soalan yang diberikan oleh peguam Muhammad Shafee Abdullah.

Raju menyifatkan bilik itu sudah penuh dengan asap dan api sedang marak.

“Api makin besar dan asap sangat tebal. Isteri mangsa cuba masuk tetapi saya terpaksa tolaknya keluar sebab berbahaya,” katanya kepada mahkamah di hadapan Hakim Ab Karim Ab Rahman.

Beliau kemudian menghubungi Jabatan Bomba dan Penyelamat menggunakan telefon bimbit syarikatnya.

Bagaimanapun Raju tidak dapat mengingat sekiranya dia ada membuat panggilan telefon ke balai polis ataupun tidak.

Samirah bersama dua anak lelakinya berusia 14 dan 16 tahun didakwa membunuh Nazrin antara 13 dan 14 Jun 2018 di rumah mereka di Mutiara Damansara, Petaling Jaya. – 13 September, 2019.

Berita penuh di sini.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen