Kontrak 16 pengusaha kantin batal, tipu proses tender Kementerian Pendidikan


Kontrak ditamatkan kerana mereka kerana terlibat memalsukan dokumen penyata bank semasa menyertai tender untuk mendapatkan kontrak berkenaan. – Gambar fail The Malaysian Insight, 13 September, 2019.

KEMENTERIAN Pendidikan menamatkan kontrak 16 syarikat pembekal makanan bermasak untuk kantin sekolah kerana terlibat memalsukan dokumen penyata bank semasa menyertai tender untuk mendapatkan kontrak berkenaan.

Kontrak mereka ditamatkan berkuat kuasa 6 Ogos lalu, kata kementerian dalam satu kenyataan hari ini.

Kementerian juga sedang dalam proses menamatkan beberapa syarikat lain secara berperingkat-peringkat, merangkumi perkhidmatan kawalan keselamatan dan kebersihan bangunan.

“Kementerian juga pada masa yang sama sedang mengeluarkan notis tujuan penamatan kepada kontraktor perkhidmatan lain yang terlibat dengan pemalsuan penyata bank ketika menyertai tender kementerian,” kata kenyataan itu.

Kementerian Pendidikan mengeluarkan kenyataan itu selepas membuat laporan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) di ibu pejabat agensi itu di Putrajaya untuk menyiasat salah laku dalam proses tender berkenaan.

Laporan kepada agensi anti rasuah itu dibuat bagi pihak kementerian oleh Pegawai Tugas-Tugas Khas kepada Menteri Pendidikan, Ulya Aqamah Husamuddin pada pukul 3 petang hari ini.

Pada 13 Ogos lalu, The Malaysian Insight melaporkan Kementerian Pendidikan meneliti semula hampir 800 kontrak yang dikeluarkan antara Januari dan Februari tahun ini, yang dipercayai diperolehi dengan menipu semasa proses tender.

Kontraktor terlibat didapati mengemukakan penyata bank palsu semasa proses tender, kata sumber.

The Malaysian Insight difahamkan laporan siasatan terhadap hampir 800 kontrak itu sudah dimaklumkan kepada Jemaah Menteri, pada akhir Julai lalu.

Sumber memberitahu, hasil siasatan dalaman sehingga tarikh itu, kementerian membatalkan lebih 140 kontrak kerana disahkan terlibat dengan penipuan.

The Malaysian Insight juga difahamkan semua kontrak berkenaan melibatkan 88 syarikat pengusaha kantin, 41 syarikat cuci bangunan, dan 14 syarikat kawalan keselamatan.

Mengikut prosedur, kontraktor terlibat akan dimaklumkan terlebih dahulu melalui notis bahawa kontrak mereka akan ditamatkan serta sebab pembatalan. Mereka diberi masa 14 hari untuk menjawab sebelum kontrak ditamatkan melalui notis penamatan.

Dalam pada itu, Kementerian Pendidikan juga akan membuka semula proses tender bagi kontrak yang terlibat, yang akan dijalankan mengikut tatacara perolehan yang terpakai.

Pihak kementerian juga sedang dalam proses melantik kontraktor sementara untuk menggantikan syarikat yang ditarik balik kontrak.

Sementara itu, kementerian mengulangi pendirian tegasnya komited memerangi sebarang cubaan pemalsuan dokumen oleh mana-mana pihak dalam urusan perolehan kerajaan.

Ia juga menyeru semua pihak yang terlibat dalam proses perolehan supaya mengamalkan budaya sihat dan berintegriti tinggi. – 13 September Ogos, 2019.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen