Kerajaan berusaha tunai janji, kata Guan Eng 


Ragananthini Vethasalam

Menteri Kewangan Lim Guan Eng Putrajaya terpaksa menyelesaikan kerugian sebanyak RM150 bilion akibat penyelewengan dalam 1Malaysia Development Bhd (1MDB) dan skandal berkaitan. – Gambar The Malaysian Insight oleh Najjua Zulkefli, 13 September, 2019.

PAKATAN HARAPAN tidak memungkiri janji pilihan rayanya dan akan berusaha untuk memenuhinya sambil menguruskan masalah kewangan yang ditinggalkan pentadbiran terdahulu, kata Menteri Kewangan Lim Guan Eng.

Beliau berkata demikian selepas ditanya apakah Pakatan Harapan (PH) akan memenuhi janji untuk menaikkan bayaran royalti minyak Sabah dan Sarawak kepada 20%.

“Berkenaan isu royalti minyak ini, kita sudah sebut sebelum ini bahawa kita akan tunaikan janji-janji dalam menifesto tetapi oleh kerana beberapa masalah yang diwarisi dari kerajaan terdahulu, kita tidak dapat laksanakan janji.

“Kena faham bahawa kerajaan terdahulu menyebabkan dana dibazirkan begitu banyak atau memberi masalah kepada Malaysia,” katanya selepas menghadiri majlis di pusat membeli-belah 1Utama di Petaling Jaya, hari ini.

Lim berkata Putrajaya terpaksa menyelesaikan kerugian sebanyak RM150 bilion akibat penyelewengan dalam 1Malaysia Development Bhd (1MDB) dan skandal berkaitan.

“Sudah tentu ini menyukarkan untuk kita tunai janji dengan segera.

“Kita harap rakyat faham. Kita sedang cuba penuhi janji, bukan hanya di Semenajung tetapi juga di Sabah dan Sarawak,” katanya. – 13 September, 2019.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen