MAHKAMAH Tinggi Kuala Lumpur hari ini membenarkan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) melucut hak sebanyak RM269,662 daripada Naza Quest Auto Sdn Bhd.
Pendakwa raya berkata Naza Quest Auto menjual kenderaan yang dibeli menggunakan dana berkaitan 1Malaysia Development Bhd (1MDB).
Hakim Mohd Nazlan Mohd Ghazali merekod penghakiman persetujuan supaya RM269,662 di dalam akaun Maybank Islam syarikat berkenaan dilucut hak.
Naza Quest Auto yang diwakili oleh Yunos Shariff tidak mencabar saman pelucuthakan itu. Turut hadir di mahkamah pagi tadi ialah Timbalan Pendakwa Raya Allan Suman Pillai.
SPRM memfailkan saman pelucuthakan terhadap 41 pihak termasuk Naza Quest Auto pada 21 Jun lalu untuk mendapatkan semula RM270 juta yang didakwa diseleweng dari 1MDB.
Menerusi kenyataan yang dikeluarkan pada hari yang sama, syarikat itu berkata wang diterima dari bekas perdana menteri Najib Razak itu digunakan untuk membeli empat buah kereta Chevrolet pada 2012 dan 2013.
Naza Quest Auto berkata saman itu berkaitan dua transaksi iaitu RM105,000 pada 17 Disember 2012 bagi pembelian dua buah Chevrolet dan RM164,662 bagi pembelian dua lagi Chevrolet pada 9 Disember 2013.
Pengedar tunggal bagi kereta Chevrolet di bawah perjanjian dengan General Motors itu menghentikan pengedaran kenderaan jenama tersebut pada 14 November 2018. Pemilik Naza Quest Auto, Naza Group juga berkata akan memberi kerjasama kepada SPRM. – 13 September, 2019.
Komen