ADA cara lain yang boleh Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) buat dalam isu doa bersama pelbagai agama selain mengeluarkan larangan semata-mata kepada umat Islam untuk tidak menyertai majlis seumpama itu, kata menteri kabinet Khalid Abdul Samad.
Larangan itu mungkin Jakim keluarkan kerana bimbang masyarakat akan keliru sehingga menganggap semua agama adalah sama sekiranya mereka terus menganjurkan majlis doa bersama, kata Menteri Wilayah Persekutuan.
“Saya difahamkan ia berdasarkan fatwa yang dikeluarkan Majlis Fatwa Kebangsaan.
“Kemungkinan ia adalah atas sebab kekhuatiran bahawa masyarakat akan keliru dengan anggapan semua agama adalah sama.
“Sejauh mana kekhuatiran ini adalah berasas adalah terpulang kepada pernilaian masing masing,” katanya kepada The Malaysian Insight.
Khalid, yang juga pengarah komunikasi Amanah, terkenal antara pemimpin politik yang kuat menganjurkan acara berbentuk dialog antara agama, terutamanya semasa masih pembangkang sebelum pilihan raya umum yang lalu.
Beliau bagaimanapun percaya kebimbangan itu boleh diatasi sekiranya ada penerangan bahawa majlis doa bersama itu bukanlah bermakna semua agama adalah serupa.
“Bagi saya sekiranya dijelaskan terlebih awal dalam majlis tersebut bahawa agama berbeza dan semua ikut agama masing-masing maka anggapan itu tidak akan muncul.
“Lagipun saya rasa kita semua sudah memahami hakikat perbezaan agama ini,” kata Khalid.
Minggu lalu, Jakim dan Jawatankuasa Mempromosikan Persefahahaman Dan Keharmonian Antara Penganut Agama (JKMPA), sebuah lagi agensi di bawah Jabatan Perdana Menteri, mengeluarkan arahan melarang umat Islam di Malaysia daripada menyertai majlis berdoa bersama agama lain.
Arahan itu merujuk kepada majlis berdoa beramai-ramai sebelum bermula program melibatkan penyertaan antara masyarakat Islam dan bukan Islam.
Dalam kenyataan dikeluarkan JKMPKA berkata majlis berdoa bersama akan digantikan dengan aktiviti yang membabitkan perkongsian mesej perpaduan.
Namun arahan itu mendapat tentangan daripada beberapa pertubuhan pemimpin bukan Islam yang bertegas tidak akan tunduk pada larangan tersebut. – 16 September, 2019.
Komen