SURUHANJAYA Hak Asasi Manusia Malaysia (Suhakam) akan memutuskan secepat mungkin sama ada akan mengadakan pendengaran awam mengenai kehilangan pasangan suami isteri Joshua dan Ruth Hilmy yang hilang pada 2016, kata pengerusinya Othman Hashim.
Pendengaran awam mengenai kehilangan mereka sepatutnya bermula tidak lama selepas Suhakam selesai menyiasat kehilangan pastor Raymond Koh dan pengasas Perlis Hope Amri Che Mat.
Dalam kes Koh dan Amri, keluarga mereka mendesak pihak berkuasa untuk mendapatkan jawapan sehingga hasil siasatan mendedahkan kedua-dua lelaki berkenaan didakwa diculik oleh anggota pasukan Cawangan Khas di Bukit Aman.
Koh hilang pada Februari 2017 manakala Amri pada November 2016.
Menurut Othman, kes Koh dan Amri berbeza dengan kes Joshua dan Ruth kerana Ruth juga dikatakan adalah seorang pastor.
“Kami akan cuba hubungi keluarga mereka. Kita tidak mempunyai banyak maklumat mengenai mereka,” katanya.
“Kes ini masih dibuka. Kita sedang menyiasat dan cuba mengumpulkan maklumat.
“Kita akan tentukan jika ada keperluan untuk pendengaran awam atas kehilangan mereka.”
Suhakam cuba untuk menentukan sama ada Joshua dan Ruth adalah mangsa kehilangan paksa.
Kehilangan paksa bermaksud seseorang individu ditangkap, diculik atau dipenjarakan secara rahsia oleh sesebuah organisasi ejen kerajaan atau politik, atau pihak ketiga yang diberi kuasa oleh kerajaan atau organisasi politik, diikuti dengan keengganan untuk memaklumkan nasib dan keberadaan individu tersebut.

Joshua dilaporkan pada asalnya beragama Islam yang kemudiannya memeluk agama Kristian manakala isterinya Ruth penganut Kristian dan berasal dari Indonesia.
Kehilangan pasangan ini mendapat perhatian pada 2017 selepas rakan mereka, Peter Pormannan dari Klang membuat laporan polis. Pormannan berkata kali pertama beliau bertemu Joshua dan Ruth ialah pada 2012.
Mereka tinggal di rumah ibu mertua Pormann di Klang sehingga penghujung 2013.
Joshua dan Ruth kemudiannya berpindah ke sebuah rumah dua tingkat di Kg Tunku di Petaling Jaya.
Pormannan berkata Joshua pernah menceritakan mengenai latar belakangnya dan kali terakhir beliau bertemu suami isteri itu ialah pada September 2016, di rumah mereka di Petaling Jaya.
Selepas beberapa bulan tidak mendengar khabar berita, Pormannan membuat laporan polis di Balai Polis Klang Selatan pada Mac 2017.
Tiga minggu selepas itu, polis merakam keterangan Pormannan.
Beliau turut membawa polis ke rumah pasangan itu dan terkejut apabila mendapati pokok Krismas masih ada di dalam rumah dan semua pakaian mereka ada di dalam bilik.
Pada Mac 2018, dua adik-beradik Ruth dari Indonesia datang ke Kuala Lumpur untuk membuat laporan polis selepas gagal menghubunginya.
Othman berkata pegawai Suhakam sedang menjalankan siasatan dan mendapatkan saksi, sambil menambah ia bukan tugas yang mudah.
“Kita menjangkakan keputusan akan dibuat secepat mungkin sama ada akan mengadakan pendengaran awam sebelum akhir tahun ini.” – 19 September, 2019.
Komen