Bersatu tidak boleh ulangi kesilapan Umno, kata Dr. Mahathir


SM Amin

Pengerusi Bersatu Mahathir Mohamad bersama Presiden Muhyiddin Yassin (kiri) dan Timbalan Presiden Mukhriz Mahathir (kanan) memotong kek pada Majlis Sambutan Ulangtahun Ketiga Bersatu di Shah Alam, malam ini. – Gambar The Malaysian Insight oleh Najjua Zulkefli, 12 September, 2019.

BERSATU mesti mengambil pengajaran daripada kegagalan Umno dan tidak mengulangi kesilapan parti itu sehingga menyebabkan mereka nanti ditolak juga oleh rakyat, kata Dr Mahathir Mohamad.

Pengerusi Bersatu itu berkata walaupun Umno mempunyai jasa yang sangat besar membantu memerdekakan negara, rakyat tetap menolak parti itu kerana merasakan ia sudah lari dari perjuangan asal.

“Walaupun parti itu tua, jasanya memerdekakan negara terpaksa diakui tetapi hakikatnya rakyat tidak lagi suka kepada parti itu. 

“Nasib parti itu kita itu perlu ambil pelajaran. Kita perlu belajar kejayaan, kegagalan dan sikap parti itu. 

“Jika kita belajar kita lebih selamat kerana kita boleh mengelak daripada ditolak oleh takyat,” katanya ketika berucap pada Majlis Sambutan Ulangtahun Ketiga Bersatu di Shah Alam, malam ini.

Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14) lalu menyaksikan Umno dan Barisan Nasional tewas buat pertama kali dalam sejarah selepas hanya mendapat 79 kerusi daripada 222 kerusi Parlimen yang dipertandingkan.

Dr. Mahathir berkata, kemenangan Bersatu dan Pakatan Harapan dalam PRU14 lalu bukan kerana mereka kuat sebaliknya kerana seteru utama Umno ditolak sepenuhnya oleh rakyat.

Jelasnya, selepas 60 tahun menerajui kerajaan, Umno tidak lagi memperjuangkan soal negara dan rakyat sebaliknya kepimpinan parti itu sibuk mengejar kekayaan diri dan ahli keluarga.

“Kita kena ingatkan diri, kita menang bukan semata-mata kekuatan kita. Bilangan ahli pun tidak banyak. Kita menang kerana kelemahan musuh kita. Mereka lemah sebab lupa dengan perjuangan mereka. 

“Kita tidak akan guna duit. Kita bergantung kepada semangat kebangsaan untuk meraih sokongan rakyat, bukan dengan hambur duit. 

“Kalau kita lupa, kita juga akan pergi jalani nasib seperti parti yang kita kalahkan itu,” katanya.

Dr Mahathir mengakui peringatannya kepada parti itu mungkin tidak sedap untuk didengar namun ia perlu supaya Bersatu terus mendapat sokongan rakyat dalam pilihan raya akan datang.

“Masa kita tubuhkan parti ini dengan tiada harapan untuk jadi kerajaan. Bila kita sudah ada kuasa, gunakanlah dengan baik. Jangan salahguna kuasa, terlibat dengan korupsi seperti yang dilakukan oleh musuh kita yang lama. 

“Mesej saya ini memang kurang sedap untuk didengar. Tidak tahu berapa banyak masa lagi untuk saya beri peringatan. 

“Kita boleh sambut ulang tahun sehingga 100 tahun kalau kita berpegang dengan perjuangan kita,” ujarnya.  – 12 September, 2019.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen