SIASATAN Suruhanjaya Diraja (RCI) yang ditubuh bagi menyiasat kerugian perdagangan forex bank pusat dalam pelaburan tukaran wang asing pada 1980an dan 1990an akan ditebntangkan kepada Yang di-Pertuan Agong esok.
Pengerusi RCI Mohd Sidek Hassan akan membentangkan laporan kepada Yang di-Pertuan Agong di Istana Negara jam 5 petang esok, menurut kenyataan Setiausaha RCI Yusof Ismail.
“Laporan itu hanya akan didedahkan kepada umum sekiranya mendapat perkenan Yang di-Pertuan Agong,” kata ketua pegawai RCI Suhaimi Ibrahim ketika dihubungi.
Yusof bagaimanapun gagal dihubungi.
Pendengaran sembilan hari itu bermula 21 Ogos dan berakhir pada 19 September.
25 orang saksi disepina untuk memberi keterangan, termasuk bekas perdana menteri Dr Mahathir Mohamad dan bekas timbalan perdana menteri Anwar Ibrahim, yang sedang menjalani hukuman penjara lima tahun kerana sabitan kes liwat.
Bekas menteri kewangan kedua Nor Mohamed Yakcop, yang merupakan penasihat BNM ketika tempoh kerugian itu turut memberi keterangan.
Panel terbabit meneliti 42 dokumen, sebahagian daripadanya mengandungi dokumen yang diklasifikasikan di bawah Akta Rahsia Rasmi (OSA). Tiada satupun dokumen terbabit didedahkan kepada umum atau dilihat oleh peguam yang mewakili Dr Mahathir, Anwar dan Bank Negara Malaysia (BNM).
RCI itu ditubuhkan untuk menyiasat kerugian daripada aktiviti perdagangan forex BNM pada lewat 1980 hingga 1994, atau terdapat pelanggaran undang-undang.
Pembangkang dan Dr Mahathir berkata penubuhan RCI itu adalah bermotifkan politik dan mensasarkan untuk menyingkirkan bekas perdana menteri itu yang kini mengetuai blok pembangkang Pakatan Harapan.
Dr Mahathir memberi keterangan bahawa beliau mengetahui tentang kerugian itu berdasarkan angka dalam laporan audit yang diberikan kepada kabinet dan dibentangkan di Parlimen, dan ia bukan sebanyak RM30 bilion.
RCI itu juga ditubuhkan selepas bekas penolong gabenor BNM, Abdul Murad Khalid memberitahu New Straits Times dalam satu temu bual bahawa kerugian pada awal 1990an itu sebenarnya lebih besar berbanding yang dilaporkan (RM9.3 bilion) dalam laporan tahunan 1994. Kerajaan kemudiannya menubuhkan satu Pasukan Khas untuk menentukan sama ada terdapat keperluan untuk penubuhan RCI.
Sidek, yang turut mengetuai pasukan khas itu, kemudiannya dilantik pengerusi suruhanjaya itu hingga menimbulkan dakwaan berat sebelah dan prejudis daripada pembangkang dan peguam Dr Mahathir.
Ketika dihubungi hari ini, peguam terbabit berkata mereka tidak mempunyai apa-apa untuk menambah apa yang dihantar, yang dikemukakan kepada panel pada 21 September.
Peguam yang mewakili Dr Mahathir Mohamad, Mohamed Haniff Khatri Abdulla berkata dalam penyerahannya bahawa RCI salah kerana tidak mendedahkan laporan dan dokumen audit yang memberikan pencerahan kepada perdagangan kewangan bank pusat itu.
Haniff turut menyatakan kekecewaannya apabila peguam tidak mendapat akses kepada dokumen terbabit ketika prosiding berlangsung.
“Pengerusi tidak membuat sebarang keputusan dan berpendapat bahawa RCI tidak terikat dengan Akta Rahsia Rasmi, yang merupakan satu kesalahan dalam undang-undang,” katanya dalam penyerahan bertulis hari ini.
“Oleh itu, ia tidak akan menjadi kepentingan RCI ini untuk meneruskan apa-apa cadangan selanjutnya, yang tidak mematuhi peruntukan yang menafikan pendedahan jenayah kepada mana-mana pesuruhjaya, pegawai atau saksi.”
Peguam Anwar, Sivarasa Rasiah dan Gurdial Singh berkata angka RM31.5 bilion kerugian yang diaudit, yang dilaporkan oleh bekas pengurus akaun BNM Abdul Aziz Abdul Manaf tidak boleh disahkan.
Peguam itu turut mempersoalkan kredibiliti Murad, dan berkata RCI sepatutnya mengambil perhatian terhadap kesalahan sebelum ini kerana gagal mendedahkan aset sehingga RM23 juta pada tahun 1999.
RCI menyaksikan pengakuan saksi yang bercanggah mengenai sikap dan tingkah laku Dr Mahathir Mohamad dan Anwar Ibrahim terhadap kerugian itu. Saksi-saksi juga bercanggah tentang bila dan bagaimana kedua-dua lelaki itu mengetahui sejauh mana kerugian berkenaan.
Siasatan itu juga menyaksikan kualiti keterangan saksi pada usia 70-an dan 80-an tidak jelas berhubung tarikh, nama dan angka.
Para saksi termasuk bekas peniaga dan pengurus pentadbiran di BNM, memberi keterangan kepada aturan-aturan lazim yang mengurus perdagangan forex pada masa itu dan juga kekurangan pengawasan pentadbiran ketika bank pusat mulai agresif mengejar kegiatan tersebut.
Bekas kakitangan menyatakan bahawa mereka beroperasi dalam skop kerja mereka dan memberi keterangan bahawa mereka tidak pernah mempunyai gambaran penuh tentang kerugian sehinggalah ia sudah terlambat.
Kesaksian juga menunjukkan bahawa isu-isu biasanya tidak pernah dibangkitkan di luar seliaan mereka, menunjukkan budaya yang tidak mempersoalkan pihak berkuasa dalam menghadapi kerugian yang semakin meningkat. – 12 Oktober, 2017.
Komen