Himpunan Penyatuan Ummah untuk semua kaum, kata Annuar Musa


Diyana Ibrahim

Sidang media menjelang Himpunan Penyatuan Ummah esok diadakan di Kuala Lumpur hari ini. – Gambar The Malaysian Insight oleh Nazir Sufari, 12 September, 2019.

HIMPUNAN Penyatuan Ummah (HPU914) esok dan lusa bukan acara kaum hanya melibatkan Umno dan PAS, sebaliknya ia sebuah acara nasional melibatkan kepentingan semua rakyat Malaysia, kata Setiausaha Agung Umno Annuar Musa.

Katanya, acara dua hari itu juga terbuka kepada pemimpin dan penyokong parti politik lain, selain Umno dan PAS.

“HPU914 adalah bersifat nasional. Kita telah undang kesemua parti politik dalam negara… sebahagian beri jawapan mereka untuk hadir dan kita ada tetamu pelbagai kaum, agama dan  kita ada tetamu kaum India, Cina, tetamu Kadazan, Dusun dan lain- lain.

“Ini majlis bersifat nasional, yang bersesuaian dengan semangat negara kita sebagai sebuah negara majmuk.

“Sebarang tanggapan bahawa majlis ini terhad kepada kaum dan agama adalah salah sama sekali,” katanya dalam satu sidang media di Kuala Lumpur, menjelang acara bermula esok.

Sidang media itu diadakan bersama Setiausaha Agung PAS, Takiyuddin Hassan.

Menurut Annuar, pihak penganjur turut menjemput rakan komponen Umno dalam Barisan Nasioal iaitu MCA dan MIC.

“Tapi MCA dan MIC tidak dihadiri presiden sebab kedua mereka di luar negara… tapi wakil ada,” katanya.

Menyentuh mengenai perhimpunan bermula esok, Annuar menjangkakan jumlah pesertanya akan bertambah daripada sasaran awal seramai 10,000 orang.

Umno dan PAS memutuskan untuk menjalin kerjasama lebih formal ketika ada sentimen negatif dalam kalangan pengundi Melayu terhadap kerajaan di bawah Pakatan Harapan yang didakwa meminggirkan kepentingan Melayu dan Islam.

Kerjasama itu bermula dalam beberapa pilihan raya kecil selepas Pilihan Raya Umum ke-14 tahun lalu, dan kemudiannya digerakkan melalui kempen atas nama penyatuan ummah melibatkan isu kepentingan Melayu dan Islam. – 12 September, 2019.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen