PEGAWAI Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (Suhakam) akan turun padang terutama di kawasan luar bandar untuk mencetuskan kesedaran tentang isu hak asasi manusia, kata pengerusinya Othman Hashim.
Suhakam juga akan menjelaskan kepada penduduk kampung berkenaan isu berkaitan Konvensyen Antarabangsa Mengenai Penghapusan Segala Bentuk Diskriminasi Kaum (ICERD) yang tidak diratifikasikan.
Othman berkata matlamat mereka ialah bergerak melangkaui sokongan dan benar-benar melakukan perubahan dalam sistem.
“Bergerak ke depan akan ada cabarannya. Apa yang kami buat sekarang ialah mendekati penduduk dari kawasan luar bandar,” katanya kepada The Malaysian Insight.
Beliau berkata amat penting untuk mendekati penduduk luar bandar dan mendidik mereka tentang ICERD.
“Kerajaan boleh menambah baik dalam perkara tertentu. Mereka memberi tanggungjawab kepada kami dalam isu hak asasi manusia.”
Pada November, The Malaysian Insight melaporkan Putrajaya bimbang hilang sokongan orang Melayu dan berdepan serangan daripada pembangkang, menjadi punca utama kerajaan tidak meratifikasikan ICERD.
Isu ICERD meletus pada 26 Oktober apabila Menteri di Jabatan Perdana Menteri P. Waytha Moorthy berkata kerajaan persetujuan komited untuk meratifikasikan enam perjanjian hak asasi manusia termasuk ICERD.
Susulan kenyataan itu, ICERD menjadi topik hangat pelbagai pihak termasuk kumpulan persatuan sivil dan parti politik, dengan kebanyakan kumpulan Melayu dan parti pembangkang mendakwa ratifikasi ICERD akan menjejaskan hak Melayu dan Islam seperti termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan.
Othman berkata mereka menganjurkan sesi town hall dengan nelayan di Port Dickson, Kelantan, Terengganu dan kawasan lain untuk mendengar aduan mereka.
“Matlamatnya ialah turun padang untuk mengetahui isu yang mereka hadapi. Untuk memberitahu mereka hak terhadap pendidikan, penjagaan kesihatan, perumahan dan keperluan asas.”
Othman berkata kerajaan perlu lebih banyak kerjasama dengan kumpulan persatuan sivil untuk membolehkan mesej mereka sampai kepada rakyat.
“Kami percaya kerajaan mahu isu hak asasi rakyat diuruskan dengan serius, kalau tidak mereka tidak akan menjadikan ia satu janji dalam manifesto pilihan raya.
“Hubungan yang berkembang baik antara Suhakam dan kerajaan, dan kredibiliti Suhakam dengan kumpulan persatuan sivil menunjukkan kita menjadi satu institusi yang layak diberi perhatian.
Othman berkata beliau yakin situasi hak asasi manusia di Malaysia akan terus bertambah baik dalam negara yang lebih terbuka, bebas dan demokrasi yang berubah. – 12 September, 2019.
Komen