PERBICARAAN kes 1Malaysia Development Bhd (1MDB) melibatkan Najib Razak ditangguhkan ke minggu depan pada Selasa selepas bekas perdana menteri itu mendapat cuti sakit selama dua hari kerana sakit mata.
Perkara itu disahkan oleh peguamnya, Muhammad Shafee Abdullah kepada The Malaysia Insight. Perbicaraan terpaksa ditangguhkan kerana anak guamnya masih cuti sakit akibat konjungtivitis, iaitu jangkitan pada mata, katanya.
Hakim Collin Sequerah juga telah dimaklumkan mengenai perkara itu, tambah beliau.
Semalam, Hakim Sequerah menangguhkan perbicaraan apabila Shafee memaklumkan Najib sakit mata, kali kedua dalam tempoh kurang sebulan.
Shafee memberitahu Sequerah jangkitan pada mata Najib disebabkan jerebu.
“Saya terima panggilan pada jam 7.15 pagi daripada anak guam (Najib) dan isterinya. (Dia) Keluar semalam dan jerebu memburukkan sakit mata anak guam saya. Temujanjinya dengan pakar pada jam 10.30 pagi di Garderns Mall. Saya boleh berikan laporan perubatan,” kata Shafee semalam.
“Seperti kita tahu, sakit mata mudah berjangkit. Kemungkinan besar beliau tidak dapat hadir hari ini dan esok. Kami akan memberikan laporan perubatan kepada mahkamah nanti,” katanya.
Semalam, Pendakwa Raya Gopal Sri Ram mereka akan memanggil lima atau enam saksi untuk pengesahan.
“Kita tak boleh lakukan pengesahan sedangkan tertuduh tidak hadir. Kami tidak dapat buat apa-apa selain tunggu laporan perubatan,” kata Sri Ram.
Sequerah membenarkan penangguhan tetapi meminta prosiding berlangsung pada Jumaat bagi menggantikan prosiding semalam.
“Malangnya…mungkin kita boleh bersidang pada Jumaat untuk memenuhi keadaan kesihatan tertuduh,” katanya.
Shafee dan Sri Ram berkata mereka tidak dapat hadir pada Jumaat kerana ada kes lain. – 12 September, 2019.
Komen