Cadangan suruhanjaya pembaharuan undang-undang tahun depan, kata Liew


Bede Hong

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-undang) Liew Vui Keong berkata kertas putih mengenai suruhanjaya yang dicadangkan itu sudah siap dan sedang mendapatkan pandangan dari pihak berkepentingan termasuk Badan Peguam. – Gambar fail The Malaysian Insight, 12 September, 2019.

SEBUAH suruhanjaya bagi mengkaji dan mencadangkan pembaharuan terhadap undang-undang sedia ada mungkin akan ditubuhkan tahun depan, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-undang) Liew Vui Keong.

Liew berkata kertas putih mengenai suruhanjaya yang dicadangkan itu sudah siap dan sedang mendapat pandangan dari pihak berkepentingan termasuk Badan Peguam.

Satu rang undang-undang akan dibentangkan di Parlimen tahun depan untuk dibahaskan selepas mendapat kelulusan Kabinet, katanya selepas menyampaikan ucaptama pada forum sempena ulang tahun ke-20 Suruhanjaya Hak Asasi Manusia (Suhakam) di Kuala Lumpur, hari ini.

“Malaysia antara beberapa negara Komanwel yang tidak mempunyai suruhanjaya ini,” katanya.

Tambah beliau, suruhanjaya tersebut dijangka akan diketuai oleh bekas hakim yang akan dibantu oleh pengamal undang-undang.

Liew berkata cadangan yang dikemukakan suruhanjaya undang-undang itu akan diserah kepada Pejabat Peguam Negara sebelum sampai ke Kabinet.

Selepas Kabinet meluluskan, rang undang-undang pembaharuan akan dibentang di Parlimen untuk dibahaskan ahli-ahli Parlimen. – 12 September, 2019.

Berita penuh di sini.              


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen