SEKURANG-kurangnya 12 orang maut di Mozambique dalam rempuhan semasa kempen pilihan raya Presiden Filipe Nyusi semalam, kata parti pemerintah.
Kejadian berlaku di sebuah stadium kecil di Nampula yang sesak dengan orang ramai. Menurut saksi orang ramai merempuh pintu keluar stadium selepas kempen berakhir.
“Malangnya, sepuluh anggota militan parti kami mati,” menurut kenyataan parti pemerintah, Frelimo. Seramai 85 orang cedera, tambah kenyataan itu.
Seorang saksi, Benjamin Nhumaio berkata suasana ketika itu sangat huru-hara.
“Apa yang berlaku ialah pintu tertutup dan hanya dibuka apabila calon Frelimo, Presiden Nyusi mahu keluar,” katanya.
“Jadi, semua orang dalam 25 de Junho Stadium mahu keluar serentak, ada yang ditolak sehingga jatuh lalu dipijak.”
Insiden itu menyebabkan sekurang-kurangnya enam wanita dan empat lelaki terbunuh, menurut parti Frelimo.
Presiden Nyusi akan bertanding dalam pilihan raya yang dijadualkan pada 15 Oktober, bagi merebut jawatan presiden. Parti pemerintah, Frelimo sudah empat dekad memerintah Mozambique dan Nyusi dijangka akan mengekalkan jawatan bagi penggal kedua. – AFP, 12 September, 2019.
Komen