RANG undang-undang (RUU) mansuh hukuman mati mandatori akan dibentang pada sidang Parlimen akan datang yang akan berlangsung mulai 7 Oktober hingga 5 Disember , kata Liew Vui Keong.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-undang) itu berkata ia sejajar dengan janji Pakatan Harapan (PH) dalam menifestonya untuk menghapuskan hukuman mati mandatori.
“Sejajar dengan Janji 27 Manifesto Pakatan Harapan, sukacita saya maklumkan bahaa pejabat kami sedang mengusahakan rang undang-undang untuk memansuhkan hukuman mati mandatori,” katanya ketika menyampaikan ucaptama pada forum sempena ulangtahun ke-20 Suruhanjaya Hak Asasi Manusia (Suhakam) di Kuala Lumpur, hari ini.
Menurut Liew, satu pasukan petugas khas diketuai seorang bekas ketua hakim negara dan dibantu oleh beberapa ahli telah ditubuhkan untuk mengkaji hukuman alternatif bagi hukuman mati mandatori.
“Pasukan itu antara lain akan mempertimbangkan tahap serius jenayah yang dilakukan, implikasi dan kebajikan mangsa serta pemulihan keadilan (restorative justice).” – 12 September, 2019.
Komen