PERUBAHAN dalam bidang pekerjaan atau jawatan menjadi tidak relevan disebabkan digitalisasi dan automasi dalam industri perbankan, tidak semestinya bermaksud kehilangan pekerjaan, kata Persatuan Bank Perdagangan Malaya (MCBA).
“Apabila bidang pekerjaan berubah atau malah dihapuskan, ia tidak semestinya bermakna ‘hilang kerja’ seperti yang didakwa. Ia sentiasa menjadi fokus bank yang menjadi ahli kami untuk memberi kemahiran baru dan memperbaiki tahap kemahiran pekerja supaya mereka boleh menerima tugas dan cabaran baru,” kata Pengarah Eksekutif MCBA Y.Y Lam kepada The Malaysian Insight.
“Ini adalah sebab mengapa bank membelanjakan sejumlah besar wang dan sumber untuk menyokong inisiatif ini. Justeru dalam konteks ini, persoalan pemberhentian pekerja dan pemberhentian kerja sementara tidak timbul,” tambahnya.
Lam berkata evolusi teknologi akan terus mempengaruhi pekerjaan seperti yang berlaku pada masa lalu.
Beliau berkata demikian ketika diminta menjelaskan pernyataan MCBA seperti disiarkan dalam Suara Nube, buletin bulanan Kesatuan Kebangsaan Pekerja-Pekerja Bank (Nube), bahawa bank perlu bergerak ke arah digitalisasi dan automasi.
Akibatnya, pekerjaan boleh dihapuskan atau diubah secara semula jadi.
Respons ini susulan soalan Nube mengenai pendiriannya mengenai ancaman yang mungkin menjejaskan kira-kira 30,000 kakitangan perbankan. – 11 September, 2019.
Berita penuh di sini
Komen