PENDAKWAH Dr Zamihan Mat Zin tidak wajar dilepaskan berikutan beliau sebelum ini mempunyai sejarah yang menentang kaum lain di negara ini, kata Ahli Parlimen Segambut Lim Lip Eng.
Hukuman yang berat wajar dikenakan oleh kerajaan terhadap mereka yang cuba memecahkan keharmonian dalam kalangan masyarakat Malaysia, tambahnya.
“Ia akan memberikan mesej yang jelas kepada yang lain,” katanya selepas membuat laporan polis di IPD Dang Wangi terhadap Zamihan hari ini.
Polis katanya, perlu menyiasat Zamihan di bawah Seksyen 298A kerana menggunakan agama untuk menggugat keharmonian di negara ini.
“Ia membawa hukuman penjara lebih berat iaitu tidak kurang daripada diua tahun dan tidak melebihi lima tahun,” kata Lim.
Lim berkata, Zamihan sebelum ini pernah melabel orang Islam lain sebagai murtad dan mensasarkan penganut Kristian dan mereka yang dilabelkannya sebagai orang Islam “Liberal” atau “Moderate”.
Menurut laporan media tempatan, Zamihan pernah melabel peguam dan aktivis hak asasi manusia Siti Kassim sebagai murtad.
Beliau berkata demikian kerana Kristian adalah kafir.
“Bagaimana kita boleh ucap selamat (Hari Krismas) kepada mereka?” katanya.
“Kami tegas dalam perkara ini kerana ia membabitkan akidah,” kata Zamihan yang dipinjamkan Jakim ke Jabatan Penjara.
Zamihan kini sedang disiasat kerana didakwa mengkritik titah Sultan Johor yang melarang kedai dobi hanya untuk orang Islam beroperasi di negeri itu.
Dalam rakaman video yang tersebar di media sosial, Zamihan turut menyifatkan orang Cina sebagai “tidak bersih”.
Zamihan kini ditahan reman selama dua hari dan disiasat di bawah Seksyen 4A Akta Hasutan. – 12 Oktober, 2017.
Komen