TIMBALAN Ketua Menteri Pulau Pinang, P Ramasamy memberi keterangan kepada polis hampir lima jam berhubung dua laporan polis yang dibuat terhadapnya oleh pendakwah kontroversi Zakir Naik.
Keterangan beliau dirakamkan oleh pegawai polis dari Unit Siasatan Jenayah Terkelas dari Ibu Pejabat Polis Diraja Malaysia Bukit Aman bermula pukul 9. 20 pagi tadi.
“Pelbagai soalan polis tanya kepada saya,” kata Ramasamy kepada media, selepas tamat memberi keterangan kepada polis lebih kurang 1.20 petang tadi.
Menurut Ramasamy, siasatan polis itu mengambil masa kerana melibatkan dua laporan terhadapnya, menyentuh laporan media yang tersiar masing-masing di portal berita Free Malaysia Today (FMT) dan India Today.
Kedua laporan media itu menyentuh kritikan Ramasamy terhadap kenyataan Zakir dalam satu ceramahnya di Kota Bharu, Kelantan pada awal bulan lalu yang dianggap mempersoalkan kesetiaan masyarakat Hindu kepada Malaysia.
Dalam pada itu, polis turut mengambil keterangan Adun Bagan Dalam, M.Satees secara berasingan.
The Malaysian Insight difahamkan mereka disiasat mengikut Seksyen 500 dan Seksyen 504 Kanun Keseksaan.
Pada 16 Ogos lalu, Zakir membuat laporan polis terhadap lima individu atas dakwaan memfitnahnya berhubung satu ceramah beliau di Kota Bharu pada awal bulan lalu.
Selain Ramasamy dan Satees, laporan polis itu dibuat terhadap Menteri Sumber Manusia, M Kulasegaran; Ahli Parlimen Klang, Charles Santiago; dan bekas duta Malaysia, Dennis Ignatius.
Ramasamy kemudian membuat laporan balas terhadap Zakir dan firma guaman yang mewakilinya Akberdin & Co. pada 26 Ogos lalu kerana menuduh beliau cuba meraih populariti dan menyalahgunakan kedudukannya sebagai timbalan ketua menteri.
Zakir selepas itu membuat satu lagi laporan polis balas terhadap Ramasamy.
Zakir mencetuskan kontroversi baru-baru ini selepas membuat kenyataan yang dianggap menghina penganut Hindu dan kaum Cina di Malaysia semasa bercemarah di Kota Bharu, Kelantan.
Beliau kemudian meminta maaf dan menyifatkan kenyataannya dipetik di luar konteks.
Zakir bagaimanapun turut disiasat polis berhubung kenyataannya itu. Beliau juga dilarang mengadakan ceramah di mana-mana tempat atau melalui mana-mana medium di Malaysia. – 11 September, 2019.
Komen