MENGGUNAKAN naratif Melayu terancam, Umno akan secara rasmi bekerjasama dengan PAS, setahun selepas hilang kuasa dan kira-kira 40 tahun selepas gabungan yang membentuk Barisan Nasional (BN), kata pemimpin parti dan pakar.
Penyatuan rasmi Umno-PAS pada Sabtu ini dijangka mendapatkan mereka sokongan umum untuk naratif nasionalisme Melayu-Islam sebagai alternatif kepada agenda Malaysia Baharu kerajaan Pakatan Harapan (PH).
“Pada 1972 bila PAS menyertai BN bersama Umno ia adalah atas dasar penyatuan nasional selepas peristiwa berdarah 13 Mei,” kata pakar politik Dr Mazlan Ali dari Universiti Teknologi Malaysia (UTM) kepada The Malaysian Insight.
Tetapi kali ini, naratif “Melayu terancam” digunakan selepas Umno hilang kuasa politik persekutuan, katanya, memetik kepercayaan sama pada 1969 iaitu kedudukan Melayu terancam selepas Umno kalah banyak kerusi pada PRU sebelum 13 Mei.
“Perbezaannya adalah Umno kehilangan kuasa politik kepada satu gabungan yang mempunyai parti politik Melayu seperti Bersatu dan Amanah.
“Kerjasama pada zaman 1970-an adalah untuk kepentingan nasional tetapi kerjasama sekarang adalah untuk kelangsungan politik,” katanya.
PAS menyertai Umno dan rakan dalam Perikatan, MCA dan MIC bagi membentuk BN pada 1972, selepas rusuhan kaum 13 Mei. Ia keluar daripada BN pada 1978 selepas perselisihan faham dengan Umno di Kelantan.
Tetapi PAS dan Umno kini yakin naratif mereka – kedaulatan Melayu dan Islam terancam dan hanya mereka dapat mengembalikan institusi itu – menjadi tiket untuk menawan kuasa persekutuan pada PRU15 yang akan diadakan dalam tempoh tiga tahun.
Kaji selidik dari badan pemikir seperti Institut Darul Ehsan mendedahkan kerjasama PAS dan Umno akan membolehkan mereka menang kerusi Parlimen yang mencukupi untuk tawan kuasa persekutuan jika pilihan raya tergempar diadakan.
Sumber berkata kedua-dua parti menjangkakan mereka dapat memenangi antara 90 hingga 100 kerusi persekutuan, dan akan dapat meyakinkan parti bebas di Sabah dan Sarawak untuk menyokong usaha mereka dalam membentuk kerajaan pusat.
Penyatuan PAS dengan Umno hanya sebentar dan terputus pada 1977 apabila parti itu keluar BN selepas ia menuduh Umno merencana pengambilalihan kerajaan negeri Kelantan yang ditadbirnya.
Tetapi penyatuan itu berpihak kepada Umno dan BN kerana gabungan itu menang 135 daripada 154 kerusi Parlimen pada PRU 1974.
Ia peningkatan besar selepas PRU pada Mei 1969 yang menyaksikan Umno dan parti dalam Perikatan, MCA dan MIC hilang majoriti dua pertiga di Parlimen.
Sejak 1978, kedua-dua parti bertembung dalam setiap pilihan raya umum untuk menjadi parti tunggal yang mewakili masyarakat paling dominan di negara ini, iaitu Melayu.
Tetapi apabila Umno hilang kuasa pada PRU14 tahun lalu dan menjadi parti pembangkang bersama PAS, pemimpin mereka mula bergabung sebagai pembangkang menentang kerajaan PH.
Selepas bekerjasama dan menang tiga pilihan raya kecil berturut-turut dan kerana persamaan ideologi mereka, Umno dan PAS membuat keputusan untuk melupakan kisah silam yang menyakitkan dan bergabung sekali lagi.
Kedua-dua parti itu dijangka menandatangani piagam berkenaan kerjasama politik mereka pada 14 September, dua hari sebelum sambutan Hari Malaysia ke-56. – 12 September, 2019.
Komen