Polis ambil keterangan P Ramasamy atas laporan Zakir Naik


Zaim Ibrahim

Polis Bukit Aman hari ini mengambil keterangan Timbalan Ketua Menteri Pulau Pinang P Ramasamy berkaitan laporan dibuat Zakir Naik. – Gambar The Malaysian Insight, 11 September, 2019.

PEGAWAI polis dari Bukit Aman hari ini mengambil keterangan Timbalan Ketua Menteri Pulau Pinang P Ramasamy berhubung laporan polis terhadapnya yang dibuat oleh pendakwah agama dari India, Zakir Naik.

Mereka tiba di pejabat Ramasamy di Tingkat 52, bangunan Komtar di George Town pukul 8 pagi dan menunggu lebih sejam sebelum ahli jawatankuasa pusat DAP itu tiba lebih kurang pukul 9.20 pagi.

Polis difahamkan hari ini akan turut mengambil keterangan daripada Adun Bagan Dalam M Satees.

Pada 16 Ogos lalu, Zakir membuat laporan polis terhadap lima individu atas dakwaan memfitnahnya berhubung satu ceramah beliau di Kota Bharu pada awal bulan lalu.

Selain Ramasamy dan Satees, laporan polis itu dibuat terhadap Menteri Sumber Manusia M Kulasegaran, Ahli Parlimen Klang Charles Santiago, dan bekas duta Malaysia Dennis Ignatius.

Ramasamy kemudian membuat laporan balas terhadap Zakir dan firma guaman yang mewakilinya Akberdin & Co. pada 26 Ogos lalu kerana menuduh beliau cuba meraih populariti dan menyalahgunakan kedudukannya sebagai timbalan ketua menteri.

Zakir mencetuskan kontroversi baru-baru ini selepas membuat kenyataan yang dianggap menghina penganut Hindu dan kaum Cina di Malaysia semasa bercemarah di Kota Bharu, Kelantan.

Beliau kemudian meminta maaf dan menyifatkan kenyataannya dipetik di luar konteks.

Zakir bagaimanapun turut disiasat polis berhubung kenyataannya itu. Beliau juga dilarang mengadakan ceramah di mana-mana tempat atau melalui mana-mana medium di Malaysia. – 11 September, 2019.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen