SEKUMPULAN wanita muda yang pernah mengandung luar nikah menganjurkan kepada para remaja agar tidak mengikut perasaan dengan menggugurkan kandungan.
Pelatih di Pusat Bimbingan Remaja Puteri Raudhatus Sakinah (RS) di Selangor berkata cara lebih baik adalah untuk berterus-terang dengan keluarga bagi menebus kesilapan.
Salah seorang daripadanya adalah Hani, yang mengaku hidup dalam serba salah dan trauma selepas menggugurkan kandungan kerana terlanjur dengan teman lelaki dua tahun lalu.
Wanita diselamatkan dan mendapatkan peluang kedua hidupnya di Raudhatus Sakinah selepas mengandung tanpa nikah buat kali kedua gadis.
“Ini adalah peluang kedua untuk saya. Saya dapat jaga anak saya walaupun sekejap Alhamdulillah. Mungkin boleh tebus balik dosa saya,” katanya yang selamat melahirkan anaknya akhir tahun.
Hani, kini berusia 20 tahun merupakan salah seorang daripada 30 pelatih di Raudhatus Sakinah yang sudahpun beroperasi hampir dua dekad.
Ia menyediakan ruang membimbing remaja terlanjur serta memberi jalan keluar kepada remaja yang mengandung untuk bertaubat dan membina hidup baru.
Hani kini menyeru remaja yang mengalami nasib sama sepertinya tidak menggugurkan anak mahupun membuang bayi tidak berdosa itu.
“Kita semua ada sejarah hitam sendiri tapi untuk lalui memang susah. Mula akan susah tapi guna cara yang betullah. Ada banyak cara dan jalan lain kita cuba atasi dan salah satu adalah pusat bimbingan ini.
“Di sini kita boleh kuatkan diri kuatkan mental. Dekatkan diri dengan Allah. Selagi kita jumpa Allah, selagi kita jumpa jalan pulang kita,” kata gadis berasal dari Selangor itu.

Hani, bukan nama sebenarnya, menjadi antara hampir 100,000 kes remaja yang dilaporkan hamil bawah umur 19 tahun sejak 2013 sehingga kini.
Dalam tempoh sama, terdapat hampir 900 kes pembuangan bayi dilaporkan, menurut Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Hannah Yeoh.
Bagaimanapun, hanya 30% bayi terbuang itu masih bernyawa sewaktu dijumpai.
Seorang lagi pelatih Raudhatus Sakinah, Nadira beliau memilih untuk melahirkan anak tanpa suami kerana tidak ingin berasa serba salah.
“Kita dah buang bayi lepas itu hendak mengandung lagi dalam keadaan yang halal kita rasa serba salah pada anak kita.
“Memang kita kalut bila kita mengandung tanpa ayah tapi (buang dan gugur kandungan) bukan jalannya.
“Cari satu jalan yang kita boleh bimbing diri kita ke arah jalan yang betul,” katanya yang baru tiga minggu melahirkan anak.
Seorang lagi pelatih, Siti, 21 pula menyeru supaya remaja terlanjur memikirkan risiko menggugurkan kandungan yang membahayakan.
Berterus-terang dengan keluarga juga katanya adalah salah satu jalan penyelesaian.
“Orang yang gugurkan kandungn ini risikonya tinggi. Bukan pada bayi sahaja tetapi pada diri kita sendiri.
“Saya fikir kesian pada bayi ini. Saya sudah mengandungkan dia kemudian hendak buang dia. Dia tak bersalah apa-apa,” katanya.

Siti yang sudah enam bulan berada di pusat itu percaya setiap kesilapan pasti dapat ditebus kerana setiap manusia tidak sunyi daripada melakukannya.
“Mungkin kita sudah tersilap langkah. Kita pilih jalan yang salah dan setiap manusia selalu lakukan kesilapan. Tiada yang sempurna.
“Dalam dunia ini ada saja orang dan ruang yang boleh tolong kita. Kalau yang terlanjur mungkin mula-mula takut. Kita ajak bincang dengan keluarga baik-baik,” katanya.
Raudhatus Sakinah kini mempunyai tiga cawangan, masing-masing di Selangor, Melaka dan Pulau Pinang. Setiap rumah menghuni 30 pelatih dan tiga warden.
Pengurusnya Muha Anun Mohd Noor berkata pelatih perlu menjalani bimbingan selama 15 bulan.
“Bila kita terima kes ini, mereka sangat buntu, kekusutan. Pada peringkat awal mereka akan lari, rasa macam hendak bunuh diri kerana berasa tidak disayangi.
“Bila masuk ke sini mereka berkumpul dengan orang senasib. Jadi lebih mudah sebenarnya untuk kita bercakap dengan kawan-kawan,” katanya yang lebih 10 tahun menjaga pusat bimbingan itu.
Selain bimbingan agama dan rohani, Raudhatus Sakinah juga menyediakan latihan kemahiran seperti menjahit, memasak dan kraftangan serta kemudahan aktiviti riadah.
Hanya 15% kosnya Raudhatus Sakinah ditanggung daripada yuran pelajar. Sebanyak 25% lagi ditokok dengan bantuan daripada Majlis Agama Islam Selangor. – 11 September, 2019.
Komen