Mengulangi kejayaan pada PRU15 lebih sukar, kata Dr Mahathir 


Ragananthini Vethasalam

Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad pada tayangan perdana dokumentari M for Malaysia di ibu negara malam ini.– Gambar The Malaysian Insight oleh Hasnoor Hussain, 10 September Ogos, 2019.

TIDAK mudah untuk Pakatan Harapan mengulangi kejayaan sebagaimana yang dikecapi pada Pilihan Raya Umum ke 14 (PRU14) kerana prestasi utamanya akan menjadi penentu masa depan, kata Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad.

Bercakap kepada pemberita pada tayangan perdana dokumentari M for Malaysia, Dr Mahathir berkata, PH mampu memenangi PRU14 kerana faktor Najib Razak.

“Pada pilihan raya itu, isu utamanya adalah Najib. Pada PRU15, beliau tidak ada trek rekod dalam tempoh masa itu. Rakyat akan menilai prestasi Pakatan Harapan,” katanya.

“Ia tidak akan menjadi mudah. Kali kedua tidak pernah mudah,” katanya merujuk kepada contoh Parti Perikatan – pendahulu Barisan Nasional – dalam mengulangi kejayaan pada pilihan raya umum kedua selepas merdeka.

Katanya, pakatan pemerintah perlu tingkatkan prestasi.

Bagaimanapun, beliau mengakui bahawa beberapa perkara akan mengambil masa bertahun-tahun untuk membuahkan hasil, terutamanya untuk memulihkan masalah kewangan yang diwarisi dari kerajaan sebelum ini.

Sementara itu, Dr Mahathir berkata, dokumentari M for Malaysia adalah berdasarkan fakta dan tidak berat sebelah, kerana ia mengetengahkan baik buruk kedua-dua pihak, dan menambah ia akan menjadi pengajaran kepada mana-mana individu untuk menerima kritikan sebagaimana mereka menerima pujian.

Dokumentari sepanjang 90 minit, mengimbas semula pembentukan gabungan antara bekas musuh dan kemenangan mereka yang belum pernah berlaku sebelum ini serta detik-detik penting sepanjang kempen dan kemenangan PH pada 9 Mei, 2018.

M for Malaysia diterbitkan dan diarahkan oleh Dian Lee dan cucu Dr Mahathir, Ineza Roussille. – 10 September Ogos, 2019.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen