Kerajaan manipulasi kempen beli barang muslim, dakwa Pemuda Umno


SM Amin

Ketua Pemuda Umno Asyraf Wajdi Dusuki mendakwa pemimpin kerajaan sengaja memberi tafsiran salah terhadap kempen itu menyebabkan hubungan kaum di negara ini menjadi renggang.– Gambar The Malaysian Insight oleh Nazir Sufari, 10 September Ogos, 2019.

PEMUDA Umno menuduh pemimpin kerajaan memanipulasi kempen “beli barangan muslim” menjadi isu kaum.

Ketua pergerakan itu Asyraf Wajdi Dusuki mendakwa pemimpin kerajaan sengaja memberi tafsiran salah terhadap kempen itu menyebabkan hubungan kaum di negara ini menjadi renggang.

Sedangkan kempen itu tidak menyeru mana-mana pihak memulaukan barangan keluaran pengusaha daripada bukan Islam, dakwanya.

“Tidak pernah timbul kita memboikot mana-mana produk rakyat Malaysia sama ada mereka ini orang Islam atau tidak.

“Persepsi atau mainan sentimen perkauman ini dibawa oleh pemimpin-pemimpin kerajaan.

“Kerajaan perlu menghentikan sebarang mainan sentimen yang boleh memecahkan rakyat di negara ini,” katanya dalam satu sidang media hari ini.

Beliau mengulas seruan pemimpin kerajaan yang menyeru agar kempen tersebut tidak diteruskan kerana dianggap memberi kesan buruk kepada keharmonian kaum.

Kempen Beli Produk Muslim dilancarkan oleh Gerakan Pembela Ummah (Ummah) dan Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM) April lalu.

Ia dilamcarkan dengan tujuan menggerakkan ekonomi umat Islam dan dalam masa yang sama memberikan lebih banyak pilihan produk halal kepada pengguna.

Kempen yang digerakkan NGO Islam dan dipromosi ke seluruh negara melalui program jelajah itu itu turut didukung oleh parti pembangkang PAS dan Umno.

Pada masa sama kempen serupa dipromosi dengan retorik kaum dan agama oleh pihak tertentu di media sosial agar pengguna menjauhi produk bukan bumiputera dan bukan Islam.

Kempen itu muncul ketika isu pengenalan tulisan Jawi di sekolah vernakular dan kenyataan pendakwah kontroversi Dr Zakir Naik hangat dibincangkan di negara ini.

Mengulas lanjut perkara itu, Asyraf berkata Pemuda Umno mengambil pendirian untuk menyokong kempen tersebut untuk membantu usahawan muslim dan Bumiputera.

“Pemuda Umno membuat pendirian untuk menyokong kempen tersebut tanpa menyisihkan atau membuat suatu pernyataan yang boleh disalah erti atau dimanipulasikan.

“Bagi kita, ini adalah sesuatu yang baik kerana kita dapat membantu usahawan muslim Bumiputera yang mungkin selama ini tidak mendapat peluang seperti ini,” ujarnya.

Beliau bercakap dalam sidang media selepas mempengerusi mesyuarat bulanan pergerakan itu di ibu pejabat Umno hari ini.

Minggu lalu, Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad menyifatkan tindakan memboikot itu dilakukan oleh mereka yang berfikiran cetek.

Beliau juga meminta gerakan itu dihentikan kerana ia tidak berkesan dan hanya akan mencetuskan kemarahan orang lain.

Menteri Kewangan Lim Guan Eng kemudiannya menyeru PAS dan Umno supaya membantu menghentikan gerakan memboikot produk keluaran bukan Bumiputera.

Katanya kedua-dua parti itu perlu berbuat demikian untuk membuktikan mereka tidak memusuhi golongan bukan Islam dan bukan Melayu.

Setiausaha Agung Umno Annuar Musa bagaimanapun mendesak pimpinan kerajaan tidak mengaitkan kempen boikot produk bukan Bumiputera.

Dakwanya kempen boikot seumpama itu tidak pernah berlaku. – 10 September Ogos, 2019.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen