2 lelaki warga asing didakwa sapu cecair pada tangan tertuduh, mahkamah diberitahu


Bede Hong

DUA lelaki warga asing meletakkan cecair di tapak tangan tertuduh Doan Thi Huong dan Siti Aisyah sebelum kedua-dua wanita itu menyapunya ke muka abang tiri pemimpin Korea Utara, Kim Jong-nam, kata saksi polis hari ini.

Dalam keterangannya di Mahkamah Tinggi Shah Alam hari ini, pegawai penyiasat Asisten Supt Azirul Nizam Chie Wan Aziz berkata kedua-dua tertuduh menamakan empat lelaki dalam rakaman keterangan mereka.

Lelaki terbabit dikenal pasti sebagai Chang, James, Y, dan Hanamori, juga dikenali sebagai Atuk atau Pak Cik.

Doan, 28, dan Siti, 25, mengaku tidak bersalah atas kematian Kim di mana pihak berkuasa berkata maut akibat terdedah dengan bahan kimia VX, yang diklasifikasikan sebagai senjata pemusnah besar-besaran.

Kim meninggal dunia pada 13 Februari dalam ambulans ketika perjalanan ke Hospital Kuala Lumpur dari klia2, di mana dia didakwa diracun.

Doan ditahan pada 15 Februari dan Siti keesokan harinya. Mereka memberitahu polis yang mereka sangka hanya terbabit dalam “prank” (gurauan).

Ketika disoal balas oleh Timbalan Pendakwa Raya Wan Shaharuddin Wan Ladin, Azirul berkata rakaman keterangan kedua-dua wanita itu sama dalam menggambarkan peranan dimainkan empat lelaki terbabit.

“Y sapu cecair itu di tapak tangan Doan,” kata Azirul.

Chang, dikenal pasti menerusi rakaman CCTV sebagai lelaki memakai topi hitam, melakukan perkara sama kepada Siti.

Azirul berkata Chang membelikan tiket teksi untuk Siti.

Hanamori, lelaki yang lebih tua, memberi arahan.

“Peranan Hanamori ialah arah Y. Peranan James ialah rekrut Siti,” kata Azirul.

Azirul dalam keterangannya berkata pasport Korea Utara Kim mengenal pasti si mati sebagai Kim Chol, diserahkan kepada Kedutaan Korea Utara pada 16 Februari.

Ketua Bahagian Forensik dan Jabatan Kimia Nor Aidora Saedon berkata beliau menerima bahan daripada Azirul, iaitu lima beg mengandungi spesimen.

Katanya, beliau menerima dua lagi beg pada 21 Februari dan baru-baru ini satu lagi sampel dilabel K29, pada 20 September. Aidora tidak mengenal pasti sampel K29 milik siapa.

Keputusan sampel itu dihantar kepada ketua makmal analisis Jabatan Kimia Dr Raja Subramaniam.

Sampel diambil daripada barangan peribadi seperti tuala dan mayat Kim, termasuk dari kolar baju dan ketiaknya, kata Aidora.

Aidora berkata ketepatan keputusan DNA tidak dipertikaikan. – 12 Oktober, 2017.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen