POLIS memberi amaran kepada ketua Baju Merah Jamal Yunos hari ini agar tidak melakukan sesuatu yang melanggar undang-undang menjelang perhimpunan anti-kleptokrasi selepas ketua Umno Sungai Besar itu menyatakan mahu menjual ikan pada perhimpunan itu.
Timbalan Ketua Polis Negara Noor Rashid Ibrahim memberi amaran kepada Jamal agar tidak melangkaui undang-undang dan diminta tidak mencetuskan kekacauan.
“Jadi, saya nasihatkan Jamal, agar tidak mencetuskan gangguan dan kekacauan,” katanya kepada pemberita di Bukit Jalil hari ini.
Semalam, Jamal berkata beliau akan menjual ikan di Padang Timur pada 14 Oktober iaitu hari yang sama perhimpunan Pakatan Harapan.
Perhimpunan anti-kleptokrasi PH itu merupakan penamat kepada siri ceramah yang diadakan di seluruh negara dan dijadualkan berlamgsung di Padang Timur pada Sabtu ini bermula jam 4 petang sehingga 11 malam.
Polis bagaimanapun meminta penganjur perhimpunan berkenaan untuk menukar lokasi ke Stadium Kelana Jaya bagi mengelakkan kesesakan lalu lintas sekiranya ia diteruskan di Padang Timur.
“Kami telah membuat penilaian berdasarkan tiga perkara. Kami mahu memastikan keselamatan orang awam, tiada kesesakan lalu lintas dan juga mematuhi undang-undang sedia ada.
“Penganjur perlu ada tanggungjawab sosial dan undang-undang apabila mengadakan perhimpunan ini,” kata Noor Rashid. – 12 Oktober, 2017.
Komen