Batal saja projek jalan bawah, kata penduduk Puncak Erskine


Zaim Ibrahim

Rumah Shirleen Bryne yang dibina 70 tahun lalu dan didiami oleh tiga generasi, kini berisiko "dirampas" oleh Kerajaan Negeri Pulau Pinang. – Gambar The Malaysian Insight, 9 September, 2019.

KUMPULAN penduduk tetap membantah projek pembinaan jalan bawah yang menghubungkan Jalan Burmah ke Tanjung Tokong yang didakwa memusnahkan kediaman di Puncak Erskine.

Penduduk ini juga mendakwa, mereka seolah-olah dibuli kerana kerajaan negeri menawarkan pampasan rendah dan tidak adil untuk projek yang dirancang untuk mengurangkan kesesakan itu.

Salah seorang penduduk, Shirleen Byrne berkata pampasan yang ditawarkan kepadanya mengikut Akta Pemerolehan Tanah 1960 itu tidak adil bagi tanah seluas 232 meter persegi.

“Saya ditawarkan jumlah pampasan sebanyak RM565,000, sedangkan melalui jurunilai yang berlesen, mereka memberitahu nilai pasaran adalah RM4.86 juta.

“Ramai orang berkata RM 500,000 itu adalah wang yang besar tetapi rumah ini adalah lebih besar nilainya untuk kami.

“Saya rasa seolah-olah dirompak oleh kerajaan,” kata Byrne ketika ditemui The Malaysian Insight.

Beliau juga yakin kerajaan negeri menggunakan projek ini sebagai satu ujian untuk melakukan tindakan yang sama di kawasan lain.

“Kami akan terus melawan. Kami tidak akan melepaskan tanah ini, kita perlu menang pertarungan (dengan kerajaan negeri), dan kejayaan ini kita sebarkan di kawasan lain,” tegas wanita itu.

Dokumen yang dilihat oleh The Malaysian Insight menunjukkan notis perisytiharan pengambilan tanah yang diedarkan pada 12 Oktober 2017 itu merangkumi 24 lot tanah.

Ia termasuk sembilan lot di Puncak Erskine. Empat daripadanya sudah menyatakan bantahan terhadap projek itu atas alasan pampasan rendah dan rundingan yang tidak jelas.

Katanya, mereka hanya mengetahui bahawa pengambilan itu adalah untuk pembinaan jalan bawah dan bukannya melalui penjelasan kerajaan negeri.

Byrne juga berasa ditipu kerana laporan media yang memetik kenyataan kerajaan negeri menyebut jumlah pampasan yang ditawarkan adalah 25% lebih tinggi daripada nilai pasaran.

“Ini merepek!” katanya yang merupakan generasi ketiga menetap rumah itu sejak dibina datuknya 70 tahun lalu.

“Ramai di sini golongan warga emas, jadi mereka ambil kesempatan kerana anggap kami akan berdiam diri dan tidak mampu melawan,” tambah beliau.

Beliau mengulas kenyataan Setiausaha Bandaraya Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP), Addnan Mohd Razali, yang menegaskan projek itu akan tetap dijalankan.

Addnan berkata, proses pendengaran awam melibatkan penduduk setempat yang bakal terjejas akan bermula tahun depan.

Sebanyak RM25 juta diperuntukkan bagi mengambil alih tanah serta sebanyak RM25 juta lagi untuk pembinaan jalan bawah tersebut, yang merupakan terowong kecil di persimpangan terlibat.

Menurut Addnan, kerajaan negeri mengikut harga yang disarankan oleh Jabatan Penilaian dan Perkhidmatan Harta, pada kadar 135% daripada nilai pasaran.

Seorang lagi pemilik tanah yang enggan dikenali berkata mereka masih belum mendapat maklumat sebenar mengenai projek terlibat kerana tidak terlibat dalam rundingan.

Beliau juga takut untuk mendedahkan identiti kerana bimbang dikenakan tindakan.

“Saya tahu tentang projek ini tahun lepas, selepas mendapat risalah bahawa akan ada satu projek dijalankan.

“Tetapi hingga sekarang, saya tidak tahu projek apa dan tidak pernah dijemput untuk berunding,” katanya.

Beliau juga yakin kesesakan itu tidak akan selesai dengan pembinaan jalan bawah.

“Betul, kita perlu lakukan sesuatu untuk atasi kesesakan jalan raya tetapi bukan dengan membina jalan baharu, ia tidak akan berkesan,” kata beliau yang tinggal di situ sejak lebih 30 tahun lalu. – 9 September, 2019.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen