JABATAN Pendaftaran Negara (JPN) membuat laporan polis selepas khabar angin tersebar di media sosial mengatakan jabatan itu mengeluarkan MyKad kepada warga China.
Ketua Pengarah JPN Ruslin Jusoh pada sidang media hari ini berkata laporan dibuat di Ibu Pejabat Polis Daerah Putrajaya , pagi tadi.
“Kita telah meminta polis menyiasat perkara ini dan juga individu yang menyebarkan berita palsu ini di Facebook, Twitter dan WhatsAspp.
“JPN tidak sewenang-wenangnya mengeluarkan MyKad kepada sesiapa sahaja, seseorang itu mesti memenuhi syarat tertentu sebelum diberi MyKad,” tegas beliau.
Ruslin berkata dakwaan itu juga menyebut JPN engeluarkan lima MyKad kepada lima warga China.
Menurutnya, insiden tersebut berlaku pada 2015 melibatkan sindiket pemalsuan dokumen.
“Yang paling banyak disebarkan ialah JPN edarkan MyKad kepada warga China tetapi apa yang sebenarnya berlaku ialah ada sindiket memalsukan MyKad kemudian diberi kepada warga China.
“Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) telahpun bertindak terhadap sindiket ini. JPN tak terlibat. Jadi, saya ingin menjelaskan bahawa JPN tidak pernah memberi MyKad dengan sewenang-wenangnya.”
Apabila ditanya jika berita palsu ini bermotifkan politik, Ruslin enggan membuat sebarang spekulasi. – 9 September, 2019.
Komen