Kerajaan negeri utama nelayan, bukan NGO Ummah, kata exco


Zaim Ibrahim

Projek tambakan laut bagi membina tiga pulau buatan di Selatan Pulau Pinang dibantah nelayan kerana didakwa memusnahkan hidupan laut serta pendapatan golongan itu. – Gambar fail The Malaysian Insight, 9 September, 2019.

KERAJAAN negeri Pulau Pinang enggan melayan tuntutan NGO Gerakan Pembela Ummah (Ummah) yang mahu projek penambakan laut dihentikan demi kepentingan nelayan.

Ketika ditanya mengenai tuntutan itu, Exco Pertanian dan Asas Tani Afif Bahardin berkata kerajaan negeri akan mengutamakan rundingan dengan nelayan yang terjejas serta pampasan.

Tambah beliau tuntutan NGO tersebut tidak penting kerana kerajaan negeri sudah bertindak melalui jawatankuasa yang ditubuhkan.

“Melalui jawatankuasa yang ditubuhkan kita sudah bincang mengenai formula (pampasan) dan program pemerkasaan (nelayan). Ini lebih penting daripada melayani NGO berkenaan.

“Kita hanya mahu berjumpa (persatuan nelayan) yang terlibat. Ummah boleh jumpa di masjid,” tambahnya dengan nada bergurau pada sidang media hari ini.

Beliau juga berkata tidak ramai nelayan yang hadir dalam perhimpunan 5,000 orang anjuran Ummah di Permatang Damar Laut, Pulau Pinang semalam.

Dalam sidang media sama, Ketua Menteri Chow Kon Yeow bagaimanapun berkata isu yang disuarakan mana-mana NGO akan tetap diambil kira.

“Perjumpaan dengan wakil nelayan akan diatur oleh selepas pemberian sagu hati dibincangkan.

“Kita akan berjumpa dengan pemegang taruh yang akan terjejas. Tetapi jika ada NGO lain yang bersuara, kita akan ambil kira,” katanya.

Perhimpunan semalam yang turut disertai pemimpin Umno dan PAS tempatan itu antara lain berkempen agar kerajaan negeri ditukar untuk membolehkan projek tambakan laut dibatalkan.

Ia antara lain dipimpin Pengerusi Ummah Pulau Pinang Akhir Che Mat.

Projek tambakan laut bagi membina tiga pulau buatan di Selatan Pulau Pinang dibantah nelayan kerana didakwa memusnahkan hidupan laut serta pendapatan golongan itu.

Penambakan laut itu untuk membina tiga pulau seluas 1,800 hektar bagi projek Pelan Induk Pengangkutan Pulau Pinang (PIP).

Projek mega itu melibatkan pembinaan lebuh raya, kereta api, kereta kabel dan terowong bawah laut. – 9 September, 2019.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen