Keselamatan kanak-kanak masih berisiko di Malaysia, kata Unicef


Ravin Palanisamy

Selain penyeludupan dan penculikan, kanak-kanak di Malaysia juga terdedah kepada buli siber, kata pakar Unicef. – Gambar fail The Malaysian Insight, 8 September, 2019.

KESELAMATAN kanak-kanak masih membimbangkan di Malaysia kerana jumlah penyeludupan kanak-kanak dan penculikan yang masih tinggi, selain ancaman buli siber, kata pakar Unicef.

Dalam satu temu bual eksklusif bersama The Malaysian Insight ketika lawatan kerja di sini, timbalan wakil Unicef di Afghanistan, Sheema Sen Gupta kelahiran Malaysia berkata negara hari ini kurang selamat berbanding ketika zamannya membesar dulu.

“Malaysia masih boleh dikatakan lebih selamat berbanding negara-negara lain yang pernah saya kunjungi. Namun, saya tidak fikir ia lebih selamat sekarang berbanding ketika saya membesar dulu.

“Memang di negara perang lain tidak selamat tetapi ada juga negara yang tidak berperang seperti Malaysia yang tidak selamat atas pelbagai sebab.

“Kanak-kanak diseludup setiap hari, di mana-mana juga atas pelbagai sebab,” katanya.

Beliau berkata selain penyeludupan dan penculikan, kanak-kanak di Malaysia juga terdedah kepada buli siber, dan ia semakin banyak berlaku.

“Dalam satu kaji selidik mengukur kegiatan buli siber tahun lalu, Malaysia berada di kedudukan keenam berbanding 28 negara, dan kedua terburuk di Asia.

Sejumlah 23% ibu bapa Malaysia yang dikaji selidik percaya anak mereka pernah menjadi mangsa buli siber sekurang-kurangnya sekali pada 2018.

Sheema berkata Internet alat penting dalam era ini dan tidak boleh diketepikan, menambah kesedaran perlu untuk menangani isu buli siber.

“Buli secara atas talian adalah realiti hari ini. Di negara seperti Malaysia, di mana anda fikir anda selamat secara relatifnya kerana ia nampak hebat, ada banyak perkara yang berlaku kepada kanak-kanak di online.

“Saya fikir penting untuk mencetuskan kesedaran, terbuka dan telus dengan anak-kanak kita, untuk membolehkan kita beritahu mereka, beri amaran kepada mereka tentang apa itu buli siber.

“Fikirkan ya, anda boleh dapat banyak maklumat, jadi banyak sumber yang berguna. Jadi, dengan tidak beritahu mereka bahawa Internet adalah buruk, ia sebenarnya untuk buat mereka sedar,” katanya.

Beliau turut menyentuh tentang perkahwinan kanak-kanak, berkata perkahwinan seumpama itu berlaku di Malaysia, tetapi tidak menjadi kelaziman seperti negara lain yang tertentu.

Katanya, Malaysia meratifikasikan Konvensyen mengenai Hak Kanak-kanak pada 1995 dan oleh itu perlu mematuhinya, termasuk melindungi mereka daripada perkahwinan seumpama itu.

“Saya pernah di Somalia, Afghanistan, Bangladesh. Ini negara yang kadar perkahwinan kanak-kanak sangat tinggi. Jadi, jika dibandingkan itu, Malaysia lebih ke depan.

“Saya fikir semua negara yang meratifikasikan konvensyen itu perlu melaksanakan pengisiannya dan perkahwinan kanak-kanak antara perkara yang tidak sepatutnya berlaku.

“Mereka komited kepada konvensyen itu dan saya fikir mereka perlu pegang komitmen itu,” katanya.

Sheema memegang jawatan itu di Afghanistan sejak Februari 2019.

Sebelum itu, beliau memegang beberapa jawatan termasuk wakil timbalan di Unicef Bangladesh, dan bekas ketua perlindungan kanak-kanak di Unicef Somalia. – 8 September, 2019.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen