Malaysia tidak boleh bergantung pada manfaat perang dagang AS-China


Sheridan Mahavera

Perang dagang AS-China mencetuskan kekecohan logistik di pelabuhan Los Angeles di San Pedro, California pada Jun lalu, susulan tarif import dinaikkan. – Gambar AFP, 8 September, 2019.

MALAYSIA tidak boleh bergantung pada manfaat daripada perang perdagangan Amerika Syarikat (AS)-China untuk mengekalkan pertumbuhan, kata kumpulan perdagangan AS-Malaysia.

Mereka berkata negara ini perlu berusaha untuk menjadi kompetitif, destinasi pelaburan yang bernilai tinggi.

Walaupun perang dagang itu menaikkan pelaburan di Malaysia dalam tempoh 18 bulan pertama, sama ada manfaat itu dapat dikekalkan atau tidak, tidak dapat dipastikan, kata Dewan Perdagangan AS-Malaysia (AMCHAM).

Ini kerana rangkaian bekalan global di mana Malaysia sebahagian daripadanya sangat kompleks dan sukar untuk melihat bagaimana perang dagang ini akan memberi kesan kepada negara terbabit, kata Pengarah Eksekutif AMCHAM Siobhan Das.

“Perang dagang itu di luar kawalan Malaysia. Apa yang kerajaan Malaysia boleh buat ialah fokus kepada memperkasakan kedudukan nilai negara ini kepada pelabur asing.

“Ia boleh dilakukan menerusi cara tradisional dalam membangunkan bakat kita dan memastikan kelancaran dalam menjalinkan perniagaan.

“Untuk merealisasikan manfaat ekonomi yang mapan, Malaysia perlu meletakkan dirinya sebagai destinasi pelaburan yang menarik, tanpa mengira apa juga berlaku dengan perang perdagangan itu,” kata Das kepada The Malaysian Insight.

Perang dagang antara AS-China dimulakan oleh Presiden AS Donald Trump dan memberi kesan kepada ekonomi dunia. – Gambar EPA, 8 September, 2019.

Ini bermakna terus menggunakan kelebihan kekuatan sedia ada Malaysia seperti infrastruktur, kepelbagaian, ekosistem perniagaan kecil dan sederhana (IKS) dan lokasi geografi strategik, kata Das.

Pada masa sama, negara ini perlu menangani masalah perniagaan sedia ada seperti kekurangan tenaga mahir, akses kepada buruh, birokrasi dan perlunya keharmonian serantau, katanya.

“Ratifikasi terhadap Perjanjian Komprehensif dan Progresif bagi Perkongsian Trans-Pasifik (CPTPP) juga akan menjadi langkah yang baik dalam hala tuju memastikan Malaysia kompetitif,” katanya.

Beliau mengulas angka pelaburan terbaru yang dikeluarkan kerajaan di mana menunjukkan Malaysia terus meraih manfaat daripada perang dagang yang dimulakan oleh Presiden AS Donald Trump. – 8 September, 2019.

Berita penuh di sini.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen