KERAJAAN, terutamanya Unit Perancangan Ekonomi (EPU) perlu meneliti semula dasar ekonomi yang gagal dan sudah ketinggalan susulan laporan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) berhubung paras kemiskinnan di negara ini, kata Anwar Ibrahim.
Presiden PKR itu berkata beliau tidak terkejut dengan rumusan laporan PBB itu tetapi berasa hairan terhadap mereka yang enggan menerima realiti itu.
“Bagi menangani isu ini, saya menggesa kerajaan terutamanya EPU dan Menteri (Hal Ehwal) Ekonomi untuk mengenalpasti salah satu masalah terbesar ini iaitu kegagalan dasar,” katanya.
Anwar berkata kegagalan dasar ini mungkin disebabkan pelaksanaan kaedah yang tidak tepat untuk menyelesaikannya.
Beliau berkata Dasar Ekonomi Baharu (DEB) mempunyai kecacatan dan tidak mampu mengatasi isu kemiskinan.
Anwar berkata tahap kemiskinan dalam kalangan Melayu masih kekal pada tahap yang hampir sama sejak dasar itu dilaksanakan pada 1971.
Beliau berkata tahap kemiskinan dalam kalangan masyarakat India di sesetengah ladang getah amat dahsyat.

Ini katanya sama seperti masyarakat di kawasan luar bandar di Sabah dan Sarawak selain kawasan bandar.
Anwar berkata dasar ekonomi lapuk berdasarkan bangsa perlu dikaji semula atau dihapuskan.
“Kita perlu beralih kepada agenda ekonomi baharu berdasarkan keperluan dan kepentingan negara untuk membangun,” katanya pada ucaptama di majlis KLSICCI hari ini.
Anwar juga menggesa kerajaan mewujudkan program dan dasar yang lebih jelas bagi menangani isu sosioekonomi.
Beliau turut mengingatkan bahawa bekas kerajaan ditumbangkan kerana ‘dasar rasis’ dan ‘ketaksuban agama’ seperti yang ditunjukkan dalam kerjasama Umno dan PAS.
“Kita bersatu menolak dasar yang rasis,” kata Ahli Parlimen Port Dickson itu merujuk kepada kemenangan Pakatan Harapan.
Selepas lebih 60 tahun merdeka, Anwar berkata sudah tiba masanya untuk melaksanakan dasar yang lebih tegas dan baik supaya generasi akan datang dilayan dengan adil. – 7 September, 2019.
Berita penuh di sini.
Komen