Sakit aneh, sihir dan bomoh kenyang telan duit


Zainal Rashid Ahmad

SEORANG artis lelaki terkenal yang mengalami gangguan kembung perut, yakin dirinya disihir. Secara konsisten serangan aneh itu terjadi selepas azan Asar. 

Artis hebat ini semakin percaya dirinya disihir kerana setelah dua minggu dirawat di hospital, doktor gagal mencari punca penyakit aneh itu.

“Doktor gagal mengenal pasti penyakit saya. Cuma, tentulah aneh, lepas Asar perut saya kembung dan saiznya sangat menakutkan,” kata artis itu.

Malah, keyakinan artis terkenal ini, katanya terbukti, apabila dia memilih mendapatkan rawatan bomoh.

“Saya ke Indonesia dan bomoh di sana merawat saya secara ghaib dan berjaya mengeluarkan sejumlah lintah dari perut,” katanya.

Mitos sihir warisan lampau

Pada dekad 70-an, kesedaran mengenai penyakit tuberkulosis (TB) atau batuk kering belum diketahui secara meluas. Masyarakat Melayu masih percaya – simptom batuk teruk berdarah berpunca daripada sihir santau.

Selain batuk berdarah, ia diburukkan lagi dengan gejala susah tidur dan sering diganggu mimpi ngeri. Pada masa itu, tidak ada kesedaran, gangguan kesihatan yang kronik akan mendedahkan pesakit pada mimpi buruk.

Santau ialah sejenis sihir paling mudah dipercayai masyarakat Melayu. Santau memiliki mitos luar biasa termasuk dalam kalangan pengamal perubatan yang menggunakan kaedah rawatan Islam.

Secara umum, ciri-ciri batuk berdarah jarang dirujuk sebagai simpton TB tahap kronik kerana manipulasi mitos sihir. Batuk berdarah lebih sering dikaitkan dengan kesan serius racun santau. 

Lebih dramatik, batuk berdarah dirujuk sebagai akibat luka kesan santau di dalam tubuh. Santau selalu dikaitkan pula dengan penggunaan racun miang buluh. Elemen santau tidak lengkap tanpa mitos penggunaan khadam jin.

Pada dekad 70-an, akses rawatan moden bagi penyakit misteri sangat terhad.

Malah, peluang mendapatkan rawatan doktor pakar juga terbatas. Selalunya, apabila punca penyakit gagal dijelaskan doktor biasa, teori seterusnya ialah percayakan sihir.

Walaupun di negara moden, TB boleh dikesan dengan mudah sejak awal abad ke 20, di negara ini batuk berdarah hingga kini lebih dipercayai sebagai kesan luka santau.

Hebatnya demonstrasi bomoh

“Sewaktu ayah saya sakit, seorang bomoh meletakkan sehelai daun keladi. Setelah menepuk belakang ayah saya hingga tersedak, keluar sejenis habuk halus yang menembusi daun keladi,” kata seorang kenalan.

Saya hanya mendengar kerana ini bukan mitos baharu.

“Perawat tu kata, kaca tajam yang menembusi daun keladi hingga ada kesan terbakar. Ayah saya kena santau kaca,” kata kawan saya.

“Apakah ayah kamu sembuh?” Tanya saya.

“Dia sihat sedikit dalam seminggu tetapi kemudian meninggal dunia,” jawabnya.

Selain santau, masyarakat pro bomoh percaya, penyakit busung juga berpunca akibat sihir. Sejak sekian lama orang Melayu menganggap busung ialah mainan sihir paling zalim.

Sihir busung bertujuan membiarkan menderita selama berbulan-bulan sebelum mati. Perutnya kembung dan makin mengeras dan akhir cairan kotor keluar dari lubang dubur. Akhirnya, mangsa maut dalam keadaan yang tragik.

Secara klinikal, busung berpunca akibat kerosakan hati (liver). Apabila hati gagal berfungsi, makanan tidak dapat diproses menjadi protein.

Kekurangan protein (albumin) akan menyebabkan tekanan on-kotik menurun dan cecair dalam saluran darah akan mengalir keluar ke rongga abdomen.

Gejala busung juga boleh berpunca daripada kerosakan hati akibat hepatitis.

Kegagalan rawatan pantas menjadikan penyakit ini sukar disembuhkan. Akibat rasa kecewa dengan rawatan klinikal, pesakit memilih kaedah tradisional. Akhirnya, dipengaruhi untuk percaya pada sihir.

“Dah tiga bulan ulang-alik masuk keluar wad tetapi masih tidak sembuh. Aku jumpa bomoh dan gunakan rawatan air sirih sebagai penawar,” kata pesakit.

Secara klinikal, apabila berlaku kerosakan hati, peluang untuk pulih amat tipis.

Doktor akan memberikan rawatan bagi melupuskan cecair terkumpul di abdomen.

Namun, memulihkannya 100% sangat komplikated kerana tisu hati yang rosak tidak boleh disembuhkan.

Bomoh kenyang bikin wang

Ketika populariti rawatan mistik tradisional mulai merosot teruk pada dekad 90-an berikutan kemunculan kaedah rawatan Islam, ramai bomoh segera berjubah. Mereka beralih trend dan gaya merawat pesakit mengikut keterampilan Islamik.

Namun, jubah dan serban tidak mengubah apa-apa. Di YouTube, berdozen senarai bomoh berjubah dan berbismillah masih bersikap dukun atau bomoh.

Antara video popular, ialah keupayaan menyembuhkan pesakit jantung, buah pinggang dan paru-paru dengan kaedah mudah.

Anda akan terkedu melihat bomoh berinteraksi dengan alam ghaib dan menukar organ pesakit yang rosak dengan organ yang baru. Lebih mengujakan, tiap pesakit kronik menerima rawatan menggantikan organ dalaman hanya sekitar tiga minit.

“Jantung rasa apa?” Tanya bomoh.

“Sakit dan susah bernafas,” jawab pesakit.

Segera bomoh menyeru dan tangannya seperti menggenggam sesuatu dari alam ghaib lalu ditepuk ke tubuh pesakit.

Kes selesai. Pesakit mendapat jantung baharu.

Magis Kamal Effendi Hashim

Ketika puluhan bomoh dan perawat bertopengkan Islam aktif mencekau duit pesakit, pada awal tahun 2000, muncul Kamal Effendi Hashim.

Sebagai kriminologis, Kamal peka pada isu penipuan bomoh dan perawat bertopengkan Islam.

“Mereka menggunakan pembedahan batin sambil menutup tubuh pesakit dengan plastik. Semua paku, gumpalan rambut dan cairan kotor darah ayam disembunyikan dalam satu poket kecil dalam selimut plastik,” katanya.

Ketika ritual mistik pembedahan ghaib berlaku, kecekapan bomoh terlatih ialah menarik semua paku, gumpalan rambut atau lintah yang disemnunyikan dalam poket selimut plastik.

“Benda-benda ini digaul dengan darah ayam. Guna-guna sihir ditemui dan apabila selimut plastik dibuka, tiada tanda-tanda pembedahan. Konon inilah magis bedah batin,” katanya.

Kelicikan bomoh batin atau perawat berjubah ini tidak pernah berakhir. Bisnes mereka sebenarnya tetap laris dan popular. 

Lihat di YouTube, puluhan bomoh dan perawat yang menjaja nama Islam sedang kenyang menelan duit pesakit yang gelabah dan berputus asa.

Masyarakat pula terus mempercayainya. Jadi, sudah tentu ramai bomoh dan perawat palsu kekenyangan menelan upah. – 8 September, 2019.

* Zainal Rashid Ahmad ialah wartawan dan penulis sastera yang telah menghasilkan antaranya novel Hikayat Tanah Jauh (2015) dan kumpulan cerpen al-Kisah (2012), Yang Tercinta (2012), Empunya Hikayat (2014), Magis Kota (2016), Pop Urban (2017), dan kumpulan puisi Sepi Itu Mati (2016) dan Orang Sepi Pergi ke Gurun (2018). Beliau memenangi 38 hadiah sastera.

* Ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pandangan rasmi The Malaysian Insight.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen